Orang ramai membeli barangan asas di program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda pada 11 July 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Permintaan tinggi penduduk, jualan murah dianjur lebih 50 kali di DUN Sungai Tua

Oleh Shamz Johan

GOMBAK, 11 JULAI: Lebih 50 kali program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sejak Januari hingga hari ini.

Bekas pengurus pusat khidmatnya Maimon Mismah berkata jualan murah barangan dapur seperti ayam, ikan, beras dan minyak masak itu diadakan secara kerap susulan permintaan tinggi penduduk.

Sukarelawan DUN Sungai Tua Maimon Misman bercakap kepada wartawan ketika temu ramah di Program Juala Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda pada 11 July 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Kita dah buat (anjur) lebih 50 kali bermula awal tahun ini, walaupun Dewan Negeri dah dibubarkan, peranan tersebut diambil alih pula oleh Parlimen Gombak.

“Kerajaan Negeri komited untuk terus santuni rakyat. Jualan Ehsan Rahmah (JER) antara pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Selangor. Kita harap dapat teruskannya jika dipilih sekali lagi pada pilihan raya negeri,” katanya.

Beliau ditemui sempena program JER Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, yang dihadiri hampir 500 pengunjung.

Inisiatif untuk meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Susulan sambutan orang ramai, program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai dan mencatat nilai jualan RM37 juta sejak pelaksanaannya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai membeli barangan asas di program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda pada 11 July 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Pengarang :