Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melakukan gimik perasmian Balai Bomba Sukarela Pulau Ketam sempena program lawatan kerja Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Selangor di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Klang pada 14 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peruntukan lebih RM1 juta baik pulih kemudahan di Pulau Ketam

KLANG, 14 JULAI: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melulus peruntukan RM1.032 juta bagi pelaksanaan empat projek infrastruktur di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Perkara itu diumum Menterinya Nga Kor Ming selepas mengadakan lawatan lebih dua jam menerusi program Sentuhan Kasih KPKT di pulau yang didiami lebih 6,000 penduduk.

Beliau berkata peruntukan meliputi kerja meroboh dan membina laluan pejalan kaki di Sungai Satu Bagan (RM445,248) serta baik pulih dan naik taraf jambatan utama ke seberang sungai dan Bagan Teow Chew (RM352,000).

“Selain itu, laluan pejalan kaki konkrit dan kerja berkaitan di tapak pembuangan sisa pepejal bagan Pulau Ketam dibaik pulih babit kos RM215,096 dan tambahan peruntukan khas menteri kepada Balai Bomba Sukarela Pulau Ketam berjumlah RM20,000.

“Semua peruntukan ini adalah untuk infrastruktur awam dan keperluan semasa yang perlu dibaik pulih demi keselamatan penduduk,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika pelancaran projek pemasangan lampu jalan jenis solar led sempena program lawatan kerja Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Selangor di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Klang pada 14 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kor Ming menambah KPKT turut mengumumkan 120 kampung baharu Cina di seluruh negara akan menerima lampu solar diod pemancar cahaya (LED) membabitkan kos RM9.018 juta.

“Sebanyak 1,002 batang lampu dipasang di 120 kampung baharu Cina yang mengemukakan permohonan melalui pegawai kemajuan perkampungan masing-masing. Kerja pemasangan lampu solar bermula segera dan siap sepenuhnya menjelang November.

“Kontraktor yang dilantik memberi jaminan lima tahun untuk lampu-lampu solar selaras dengan dasar kerajaan iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), tidak pakai lampu jalan konvensional,” jelasnya.

Sementara itu, EXCO Pembangunan Kampung Baharu Ng Sze Han berkata peruntukan lebih RM1 juta itu merupakan berita gembira buat penduduk di pulau berkenaan.

“Terima kasih kepada KPKT kerana turun meninjau keadaan sekitar dan mengumumkan berita baik peruntukan untuk naik taraf.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri juga membelanjakan lebih RM600,000 untuk infrastruktur demi keselesaan dan keselamatan penduduk,” katanya.

Sebelum ini, KPKT memperuntuk RM8.24 juta bagi enam projek menaik taraf infrastruktur awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.


Pengarang :