Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) menyampaikan cek cura elaun sara hidup nelayan dah pesawah Selangor sambil diperhatikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (kanan) dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland, Sabak Bernam pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pesawah terharu terima bantuan kerajaan, ringan beban susulan hasil tidak menentu

SABAK BERNAM, 18 JULAI: Golongan pesawah di Selangor menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan atas keprihatinan yang berterusan dalam membantu mereka meringankan beban, susulan hasil padi yang tidak menentu kini.

Bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dari masa ke masa kepada pesawah di kawasan utara Selangor telah membantu pesawah menampung kos penanaman bagi menambahkan hasil tani yang diusahakan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Sallehuddin Mohd Iskan berkata sehingga kini, lebih RM1,000 telah disalurkan kepada setiap pesawah di bawah kendaliannya daripada peringkat kerajaan Pusat serta negeri.

“Ini termasuk sumbangan khas Aidilfitri RM200 serta RM500 daripada kerajaan negeri serta hari ini PPK kawasan saya telah menerima sumbangan sebanyak RM1.2 juta yang melibatkan lebih 2,000 pesawah bakal menerima manfaat tersebut.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami pada waktu senggang (tempoh menunggu menuai) selama tiga bulan untuk menuai kerana ketika ini kebanyakan pesawah tidak mempunyai pendapatan hasil padi,” katanya di Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bergambar pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Selangor yang diadakan di MSekin Wonderland, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan program tersebut turut menyampaikan sumbangan Dana Tabung Hijrah Madani AgroBank kepada 20 surau dan masjid bernilai RM100,000 dan bantuan khas sumbangan tunai RM3.9 juta kepada 6,511 pesawah.

Sallehuddin merupakan antara penerima bantuan khas sumbangan tunai pesawah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini iaitu bantuan RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi bagi tempoh tiga bulan semusim.

Senada dengan Sallehuddin, dua wakil penerima bantuan khas tersebut iaitu Pengerusi PPK Tanjong Karang Mohd Ruzi Abu Hassan dan Pengerusi PPK Pasir Panjang Mardi Sukir berpendapat bantuan untuk setiap tiga bulan itu sedikit sebanyak menampung perbelanjaan mereka dalam membeli barangan input padi yang kian meningkat harganya.

– BERNAMA


Pengarang :