Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PM: Amirudin kekal MB jika HARAPAN pertahan Selangor dalam PRN

SEKINCHAN, 18 JULAI: Dato’ Seri Amirudin Shari akan kekal menjadi Dato’ Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mempertahan Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Pertama kali diumumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu berdasarkan prestasi cemerlang Amirudin membawa pelaburan ke Selangor sejak mentadbir negeri pada 2018.

“Selangor mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi pada suku pertama, jadi saya cadang kekalkan Amirudin sebagai MB. Ini kali pertama saya umumkan, tengok dia pun terkejut,” katanya.

Berucap pada program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di sini hari ini, Anwar berharap Selangor meneruskan pentadbiran sedia ada selain bersama-sama Kerajaan Perpaduan memajukan negara.

“Kerajaan Negeri perlu kuat bersama Kerajaan Perpaduan, apabila berpakat boleh bantu. Penting sehaluan dengan persekutan supaya kerja berjalan baik,” katanya yang juga pengerusi HARAPAN.

Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun lalu iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2022, nilai pertumbuhan pula mencatatkan 11.9 peratus, bertambah 3.2 peratus berbanding 8.7 peratus kadar nasional.

Minggu lalu, Anwar mengumumkan syarikat kereta Tesla akan membuka ibu pejabatnya di Selangor tahun ini selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya Elon Musk.

Beliau berkata pelaburan oleh Tesla dan perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX ke negara ini boleh mewujudkan puluhan ribu pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

 

 

 


Pengarang :