Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor yang diadakan di MSekin Wonderland, Sabak Bernam pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Aramco hasrat jadikan Malaysia hab perkembangan minyak Asia Tenggara

SABAK BERNAM, 18 JULAI: Syarikat minyak dan gas terbesar di Arab Saudi, Aramco berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Aramco Amin Nassir yang senang dengan dasar kerajaan dan kepimpinan negara ini.

“Aramco senang dengan dasar kerajaan dan kepimpinan Malaysia dan buat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan minyak Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Saya ceritakan sebahagiannya kerana pertama Malaysia aman. Siapa yang bantu amankan, tentera, polis dan penguatkuasaan. Jangan kita andai perkara ini mudah, ia boleh dibandingkan dengan negara lain yang ada pergaduhan, perang saudara, pergaduhan kaum dan Islam sendiri,” ucapnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Selangor yang diadakan di MSekin Wonderland, Sabak Bernam pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada majlis perasmian Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, selaku Perdana Menteri, beliau sering mendengar pandangan semua pihak untuk menambah baik serta mementingkan semua perkara termasuk kemudahan dalam pendidikan.

“Saya anggap semua anak-anak seperti anak saya. Sebab itu saya lihat setiap kemudahan di sekolah sama ada tandas, kelas, bumbung, pintu dan kipas angin, jika rosak ambil tindakan segera baiki kerana peruntukan RM1.4 bilion telah diluluskan.

“Pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung tolong tengok, kalau betul ada masalah laporkan. Saya tidak sanggup biarkan begini, ” katanya lagi.


Pengarang :