Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis perasmian Sentuhan Kasih Desa Selangor & Mini Karnival Usahawan Desa di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 22 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM ingatkan jangan heret institusi raja dalam kancah politik

SABAK BERNAM, 22 JULAI: Ahli politik diingatkan tidak mengheret institusi raja ke dalam kancah politik semata-mata mahu menjayakan agenda peribadi mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedudukan dan martabat Raja-raja Melayu berbeza dengan rakyat dan seharusnya kedaulatan institusi beraja dijunjung semua pihak.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika majlis perasmian Sentuhan Kasih Desa Selangor & Mini Karnival Usahawan Desa di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 22 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kalau cerca dan singgung raja, nasib kamulah. Kenapa salahkan perdana menteri pula? Tiada modalkah? Pandai cakap, pandai tanggunglah.

“Kita semua ada sultan dan agong. Jangan samakan raja dengan kita. Raja jaga kedaulatan, jangan heret raja dalam perbincangan kita,” katanya tanpa merujuk mana-mana pihak.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa dan Mini Karnival Usahawan Desa peringkat Selangor di Stadium Mini Sungai Besar di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu pada majlis perasmian Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 22 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Selasa lalu, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan dibenarkan ikat jamin RM5,000.

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap rakyat Selangor dapat mengekalkan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada, khususnya penduduk di utara negeri ini.

“Saya amat harap Selangor dikekalkan bukan sahaja dari segi kemajuan, tapi pentadbiran juga. Saya harap khususnya di utara Selangor ini jangan salah pilih.

“Kita ada watak baik untuk terus memimpin. Di Sungai Burong kita tampilkan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Khir Ramli,” katanya.


Pengarang :