Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada program Kita Hulu Kelang di padang Rumah Pangsa PKNS Taman Keramat pada 21 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Malaysia makin dapat perhatian antarabangsa, tarik pelaburan

Oleh AZIAN AZIZ

HULU KELANG, 22 JULAI: Malaysia semakin mendapat perhatian apabila banyak menerima kunjungan dan jemputan daripada pemimpin negara luar.

Perdana Menteri berkata perkembangan itu bukan sahaja mewujudkan hubungan persahabatan antara negara malah menarik pelaburan.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara pemimpin yang bakal berkunjung ialah Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr yang dijadual tiba Rabu dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang berangkat awal Ogos.

“Ini pertama kali Presiden Filipina datang selepas bertahun tak datang ke sini dan awal bulan depan Tuanku Sultan Brunei pula.

“Orang pandang hebat Malaysia sekarang dan saya juga diundang ke merata negara tapi saya tak pergi melainkan di ASEAN sebab ASEAN ni saya kena ‘cover’ semua sebab itu saya pergi ke Vietnam,” katanya.

Terdahulu, beliau berucap di hadapan lebih 1,000 penduduk dalam program Kita Hulu Kelang di padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini malam tadi.

Anwar memberitahu dua hari lalu beliau menerima surat daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman yang menjemputnya mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

“Yang mereka kata saya tak diterima di Arab Saudi, Putera Mahkota sendiri tulis surat jemputan dan tandatangan. Tapi saya belum sempat beri tarikh lagi untuk melawat.

“Ini semua penting dalam dunia persahabatan supaya ada pelaburan,” katanya yang turut menyebut nama pemimpin lain yang mengundangnya iaitu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Anwar turut menyatakan keputusan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk membuka pejabat di Selangor adalah kerana keyakinannya terhadap pentabiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Sebab itu kita kekalkan beliau sebagai Menteri Besar,” ujarnya.

Syarikat kenderaan elektrik Tesla Inc bakal membuka ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.


Pengarang :