Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) melawat tapak jualan pada Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland, Jalan Pantai Redang, Bagan Sekinchan pada 18 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM puas hati prestasi menteri, laporan badan penguat kuasa jadi rujukan

SABAK BERNAM, 18 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi menteri Kabinet bawah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sejak lapan bulan lalu.

Menurut perdana menteri, pencapaian itu hasil pemantauan dan laporan semasa polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Saya sudah jawab, teliti ucapan saya. Lapan bulan saya jadi perdana menteri, saya ikuti laporan semasa ke semasa dan berpuas hati tiada kes menjejaskan daripada segi integriti,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Sentuhan Agro Madani peringkat Selangor di MSekin Wonderland di sini, hari ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pentadbiran negara perlu dijaga dengan baik bagi memastikan amalan rasuah dan isu kecurian wang tidak berlaku dalam Kabinetnya.

“Tanggungjawab saya menjaga supaya jangan ada amalan semacam itu. Jadi, laporan saya berdasarkan prestasi lapan bulan yang dipantau rapi agensi penguatkuasaan, tanpa mengira kedudukan dan parti termasuk parti kerajaan,” katanya.


Pengarang :