Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan delegasi di pejabatnya di Putrajaya pada 18 Julai 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM terima kunjungan mufti besar India, manfaat kepakaran kitab Sahih al-Bukhari

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari di pejabatnya di Putrajaya.

Perdana Menteri berkata beliau berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syeikh Abu Bakar di atas kunjungan itu.

“Semoga kehadiran beliau dapat dimanfaatkan oleh kita khususnya dalam bidang kepakaran beliau mengenai kitab Sahih al-Bukhari,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Mufti Besar India dan juga Pengasas Jamia Markaz, Kerala, India Al-Allamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan delegasi di pejabatnya di Putrajaya pada 18 Julai 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menurut Perdana Menteri, Syeikh Abu Bakar dijangka menghadiri beberapa sesi majlis ilmu termasuk Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari dan Peluncuran Majlis Hadis Sahih Al-Bukhari Peringkat Kebangsaan pada 22 Julai di Putrajaya yang akan turut dihadiri beliau sendiri.

Anwar berkata pada tahun lepas beliau diundang oleh Syeikh Abu Bakar ke Jamia Markaz yang dipimpin beliau dan terletak dalam bandar ilmu, Markaz Knowledge City di Kozhikode, Kerala.

Kata Perdana Menteri ketika berada di Kerala untuk beberapa hari beliau menekuni beberapa inisiatif pembangunan umat, selain meluangkan masa menyantuni anak-anak yang menuntut di sana.

– BERNAMA


Pengarang :