Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada majlis pengumuman calon KEADILAN di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PM yakin HARAPAN pertahan tiga negeri, dua lagi boleh ditawan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) mempertahan tiga negeri yang ditadbir mereka termasuk Selangor selain berpeluang menawan dua lagi negeri.

Tanpa menyebut dua negeri berkenaan, beliau yang juga pengerusi gabungan tersebut berkata kejayaan itu dapat dicapai jika jentera bekerja keras sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).

“Tiga negeri (bawah HARAPAN) kukuh, mantap dan bertahan. Bulan lalu, saya sebut satu negeri lagi boleh ditawan. Sekarang saya mahu sebut hampir dua negeri kita boleh tawan,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis pengumuman calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Padang Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 7 di sini malam tadi.

Penyokong Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang hadir pada majlis pengumuman calon KEADILAN di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam pada 23 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Namun, Anwar yang juga perdana menteri mengingatkan pimpinan dan jentera parti supaya tidak berasa selesa sekalipun unjuran beberapa firma penyelidikan dilihat memihak kepada HARAPAN.

Mengakui ramai pemimpin KEADILAN layak menjadi calon tetapi bilangan kerusi terhad, beliau menjelaskan kelompok wanita, anak muda dan pemimpin lama tidak ketinggalan dari dipilih.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

PRN berlangsung melibatkan 56 DUN di Selangor, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

BN yang kini bekerjasama dengan HARAPAN bertanding 108 kerusi DUN termasuk 12 daripada kerusi di Selangor.


Pengarang :