Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Polis: Tolak semua panggilan telefon punca Sanusi ditahan 3 pagi

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Penahanan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada awal pagi tadi disebabkan beliau banyak kali menolak panggilan telefon yang dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata panggilan telefon berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima arahan berkaitan pertuduhan membabitkan Muhammad Sanusi daripada Jabatan Peguam Negara, semalam.

Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati Muhammad Sanusi tiada di Kedah dan berada di sebuah stesen televisyen di ibu negara.

“Tiada kelibat beliau (Muhammad Sanusi) di sana dan beliau turut menolak panggilan kami yang mahu memaklumkan supaya hadir ke mahkamah. Kami juga sudah menghubungi beliau menerusi setiausaha politik dan pegawainya, namun semua panggilan ditolak,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Razarudin berkata Muhammad Sanusi ditahan berikutan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan siasatan mendapati terdapat unsur kecenderungan kebencian dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Beliau berkata Muhammad Sanusi ditahan pada 2.30 pagi tadi di Mont Kiara di sini bagi memastikan beliau hadir ke mahkamah.

Katanya menjadi kelaziman bagi individu yang disiasat mengikut Sekyen 4(1) Akta Hasutan ditahan.

“Seksyen ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang lazim ditangkap, boleh ditangkap, bukannya kesalahan tak boleh tangkap, ia kesalahan boleh tangkap.

“Sebenarnya, kalau kesalahan boleh tangkap ini, kalau tanya sayalah, bila-bila kita nak tangkap pun tidak apa, bila-bila pun boleh,” katanya.

Razarudin berkata setakat ini, 58 laporan polis termasuk daripada Ahli Dewan Diraja Selangor diterima berhubung kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yang didakwa menyentuh isu 3R iaitu Institusi Diraja, Agama dan Bangsa.

Muhammad Sanusi, 48, hari ini dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

 


Pengarang :