Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi
ADNSELANGOR

PRN: Najwan sedia pertahan kerusi DUN Kota Anggerik

SHAH ALAM, 3 JULAI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sedia mempertahan kawasan berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang sekiranya dicalonkan.

Najwan Halimi berkata beliau difahamkan Parti Kedailan Rakyat (KEADILAN) cabang Shah Alam telah mengemukakan namanya sebagai calon untuk kerusi berkenaan.

“Saya sentiasa bersedia sekiranya masih diberi mandat untuk pertahankan kerusi ini dan saya yakin Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengekalkan kerusi di Kota Anggerik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jom Rewang dan Makan Kenduri sempena Aidiladha di Surau Raudhah Al-Muttaqin, Seksyen 4 di sini semalam.

Mengulas kejayaan beliau sepanjang menjadi wakil rakyat Kota Anggerik sejak 2018, Najwan berkata banyak yang diusahakannya dan kini membuahkan hasil.

“Mungkin nak sebutkan satu-satu itu terlalu banyak tetapi apa yang dapat saya simpulkan antara yang berjaya kita selesaikan adalah isu perumahan, keselamatan dan infrastruktur di Shah Alam.

“Malah, saya juga berjaya menggalakkan penduduk menubuhkan persatuan kerana kebanyakan perumahan di sini mereka tiada persatuan jadi sukar untuk melaksanakan aktiviti atau untuk wakil rakyat menyalurkan sumbangan.

“Justeru, dengan penubuhan persatuan ia memudahkan kita sebagai wakil rakyat untuk berurusan secara terus dengan penduduk kerana mereka sebahagian daripada gerak kerja ADN, sebagai ADN kita tidak boleh bergerak sendiri,” ujarnya.


Pengarang :