SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri menstruktur beberapa program kebajikan rakyat dengan menambah jumlah bantuan serta penerima manfaat.
Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dijenamakan kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) termasuk meningkatkan nilai bantuan bulanan.
Peserta BINGKAS menerima RM300 sebulan atau RM3,600 setahun berbanding RM200 sebulan atau RM2,400 setahun menerusi program KISS.
Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, selain itu inisiatif Skim Mesra Usia Emas (SMUE) juga distruktur menjadi Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) yang memberi baucar membeli-belah kepada warga emas pada setiap tahun.
“Program ini ditambah baik dengan memberi baucar ‘shopping’ setiap tahun kepada warga emas semasa hidup berbanding menerima wang selepas meninggal dunia seperti zaman dahulu.
“Kesimpulannya, usah terpedaya dengan golongan pemecah belah yang menabur fitnah dan pembohongan. Kerajaan Perpaduan adalah gabungan terbaik untuk Selangor,” katanya di Twitter.
Pada 6 Julai, Amirudin berkata SMUE ditambah baik supaya penerima berusia 60 tahun ke atas berpeluang menikmati bantuan kebajikan selagi mereka ada hayat.
Peserta inisiatif tersebut menerima baucar membeli-belah bernilai RM150 setiap tahun dan khairat kematian RM500.
Ia susulan tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam ceramah politik baru-baru ini, kononnya Kerajaan Negeri tidak lagi membela kebajikan warga emas.
Mutakhir ini, terlalu banyak putar belit dan fitnah yang ditabur oleh golongan pemecah belah yang terlalu asyik bermain politik dan timbulkan ketidakstabilan. Saksikan video ini untuk ulasan dan jawapan dari saya.
Seperti contoh, ada yang tohmah program air percuma sudah tiada… pic.twitter.com/KkhB1mvwpk
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) July 23, 2023