Salah seorang penerima Bingkas Salina Damsah membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di Pasaraya Maju A&A, Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Bantuan bulanan RM300 ceriakan ibu tunggal sambut Ramadan, Syawal

SHAH ALAM, 11 APRIL: Segar lagi ingatan Nurul Nadia Shaharuddin tentang kepayahan Ramadan tahun lalu. Tidak selalu dia dapat menyediakan hidangan bersahur dan berbuka puasa untuk lima anaknya.

Ibu tunggal berusia 34 tahun itu hidup serba serbi kekurangan. Beliau tidak bekerja dan menghidap penyakit.

Mujur abangnya prihatin dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban Nurul Nadia yang menetap di Seksyen 24, Shah Alam.

“Ada kalanya terpaksa jimat makanan, paling penting anak-anak diutamakan untuk berbuka dan bersahur,” katanya kepada Selangorkini pada 30 Mac.

Namun, keluarga itu bertuah pada Ramadan tahun ini. Pengumuman Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang memperkenal Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) pada Belanjawan 2022 dengan peruntukan RM108 juta melegakan Nurul Nadia.

Sukarelawan Team Selangor Kamarul Hafiz sedang menyusun barang keperluan asas yang akan diagihkan kepada penduduk ketika program Bingkas anjuran DUN Bukit Lanjan di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga itu antara 30,000 keluarga di Selangor yang mendapat manfaat. Bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 untuk membeli barang keperluan melegakan ibu tunggal berkenaan.

“Boleh sedia makanan untuk berbuka dan sahur, walau tidak mewah tetapi semua dapat rasa,” katanya.

Program Bingkas antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk perkongsian kekayaan. Lima belas tahun lalu, agenda kebajikan mula dirasai rakyat negeri ini susulan kemenangan gabungan parti Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008.

Sebelum Bingkas yang termasuk dalam Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor dilaksana, bantuan disalur menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT). Setiap peserta menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.

Bantuan naik

Menyedari keperluan semasa semakin mendesak, Amirudin ketika membentang Belanjawan 2022 mengumumkan penambahbaikan kepada inisiatif itu. Ia dijenamakan semula menjadi Bingkas.

Nilai bantuan ditingkat kepada RM300 sebulan atau RM3,600 setahun. Bilangan penerima bertambah daripada 21,000 kepada 30,000 peserta, sekali gus memanfaatkan 180,000 warga Selangor.

Peruntukan besar RM108 juta untuk inisiatif itu membuktikan keazaman menjaga kebajikan rakyat. Kumpulan berpendapatan rendah sememangnya terjejas teruk akibat kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan Selangor lebih ke hadapan menghulurkan tangan untuk kumpulan itu. Bingkas membantu mereka sekurang-kurangnya menyediakan keperluan asas hidup.

Peningkatan sebanyak RM100 itu juga tepat pada masanya. Selain berdepan masalah kenaikan harga barang, ada juga kumpulan yang baru hendak bangkit daripada dampak Covid-19.

Mereka boleh membeli pelbagai jenis barangan di premis terpilih. Antaranya beras, mi, telur dan minyak masak.

Bagi keluarga yang ada anak kecil serta bersekolah, lampin pakai buang, susu tepung, barangan sekolah dan buku juga boleh dibeli menggunakan kad Bingkas.

Bingkas merupakan sebahagian daripada inisiatif memanfaatkan warga Selangor daripada bayi sehingga warga emas dilaksanakan.

Bermula tujuh pakej bantuan bawah dasar merakyatkan ekonomi, jumlahnya bertambah kepada lebih 46 inisiatif setakat ini menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP), seiring peningkatan pendapatan hasil urus tadbir cekap.

Di bawah ISP, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM600 juta untuk menjayakan pakej memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan. Tiada kumpulan tertinggal.

Pasaraya Mydin meletakkan notis pemberitahuan bayaran menggunakan aplikasi Bingkas di hadapan kaunter ketika tinjauan Media Selangor di Mydin Mart, Selayang pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Enam inisiatif digariskan iaitu Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor (10 program), Iltizam Kesihatan Selangor (11), Iltizam Pendidikan Selangor (7), Iltizam Perumahan Selangor (7), Iltizam Keusahawanan Selangor (5) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (4).

Untuk memohon layari laman sesawang bingkasselangor.com dan pilih kotak daftar permohonan. Turut disertakan maklumat berhubung dokumen diperlukan untuk menjadi peserta Bingkas.

Pembayaran menggunakan e-dompet WavPay.

Talian hayat saat sukar

Sering menjaga kebajikan warganya, Selangor negeri pertama yang memperkenal pakej bantuan berterusan kepada golongan sasar.

Pelbagai penerima mendapat manfaat hasil inisiatif dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Pakej dalam ISP antara strategi Kerajaan Negeri untuk meringankan beban rakyat menghadapi saat-saat sukar.

Sejak Julai tahun lalu, bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun untuk membeli barang keperluan mengurangkan beban buat 30,000 keluarga berpendapatan rendah yang menjadi penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Inisiatif lain termasuk penganjuran jualan murah barangan asas seperti ayam, telur ayam dan minyak masak menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Berikut reaksi penerima Bingkas yang ditemu bual pada 30 Mac oleh Selangorkini.

“Alhamdulillah bantuan ini meringankan beban keluarga kami untuk membeli barang keperluan pada setiap bulan. Boleh kami menyimpan sedikit duit dan berbelanja untuk keperluan lain seperti pendidikan anak-anak yang penting untuk masa depan.”

Norfazilah Mohd Shoid, 35, Pendamar Indah, Klang

“Kalau hendak harapkan perniagaan taufu fa yang saya buat secara kecil-kecilan memang tidak mencukupi buat kami sekeluarga. Lebih-lebih lagi saya menghidap penyakit kronik, saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sedia bantuan RM300 sebulan untuk kumpulan memerlukan macam kami ini.”

-Muhammad Raffei Roslan, 41, Teluk Gong, Klang

“Bingkas lebih baik kerana menerusinya lebih banyak jenis barangan boleh dibeli berbanding sebelum ini. Ini langkah tepat kerana setiap orang berbeza keperluannya. Mudah juga untuk memohonnya, sama seperti dengan skim bantuan lain. Asalkan cukup dokumen, dapat lulus dengan segera.”

-Adilah Khajis, 41, Taman Teluk Gedung Indah, Klang

“Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang naikkan bantuan daripada RM200 kepada RM300, lagi banyak barang boleh kami beli. Saya biasa guna Bingkas untuk membeli susu formula anak dan lampin pakai buang, kalau ada lebih boleh beli beras, telur dan bawang.”

-Nor Ziyana Hussin, 44, Pangsapuri Aman Perdana, Klang

“Sebagai OKU yang cacat penglihatan, tidak banyak saya boleh lakukan untuk membantu tambah pendapatan suami bekerja sebagai pengawal keselamatan. Alhamdulillah dengan Bingkas dapat beli barangan untuk keperluan kami tujuh sekeluarga, bantuan RM300 ini besar maknanya buat kami.”

-Nurhazwani Amil, 36, Seksyen 24, Shah Alam

“Sebagai ibu tunggal memang mencabar menyediakan keperluan lima anak kecil, mereka memerlukan makanan berkhasiat untuk membesar seperti biasa. Mujur ada bantuan Bingkas tidaklah kami terputus bekalan makanan, waktu Ramadan dapat saya sedia hidangan berbuka dan sahur.”

-Nurul Nadia Shaharuddin, 34, Seksyen 24, Shah Alam


Pengarang :