Turapan jalan menggunakan kaedah kopak lapisan rosak dan turap lapisan baharu (mill and pave) selesai dilaksana di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang siap dilaksanakan. Jalan tersebut sedia digunakan semula untuk kemudahan orang ramai. Foto Twitter Infrasel
AGENSISELANGOR

Projek turap jalan terus rancak, satu lagi laluan di Rawang siap

SHAH ALAM, 18 JULAI: Projek turapan mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) ke daerah Gombak pada 15 Julai.

Syarikat penyelenggara jalan negeri berkata kerja di Jalan Tasik Puteri, Bandar Tasik Puteri, Rawang menggunakan kaedah kopak lapisan rosak dan turap lapisan baharu (mill and pave).

Menerusi Facebook rasminya, Infrasel memaklumkan pihaknya turut melaksanakan kerja mengecat garisan jalan raya, yang kini sedia digunakan semula untuk kemudahan orang ramai.

“Semoga kemudahan yang lebih selesa ini dapat memberi manfaat kepada semua,” tulis agensi itu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9km, bermula bulan lalu.

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta bawah daerah, yang dijangka siap hujung bulan ini.

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Pada 13 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor menerima tambahan RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk membaiki jalan kampung negeri.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 turapan jalan dilaksanakan Infrasel dengan setiap aduan orang ramai berkaitan kerosakkan termasuk jalan berlubang dibaiki dalam tempoh 24 jam.


Pengarang :