Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Program Kita Hulu Kelang di Padang Rumah Pangsa PKNS Taman Keramat pada 21 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Rakyat dapat lebih manfaat jika Selangor kekal bawah Kerajaan Perpaduan

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 JULAI: Rakyat Selangor akan mendapat lebih banyak manfaat sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).

Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan dan kemudahan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih mudah sekiranya pentadbiran negeri selari dengan Kerajaan Pusat,

Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu antara yang dirancang termasuklah membangun semula kawasan penempatan 70-an dan 80-an termasuk pangsapuri di kawasan Hulu Kelang.

“Jika sekali lagi diberi amanah di peringkat negeri dengan sesegera mungkin di tahun pertama saya akan turun balik ke sini serta beberapa kawasan di seluruh Selangor dan bangunkan semula rumah yang selesa untuk penduduk iaitu rumah dua atau tiga bilik.

“Ini bukan janji palsu kerana saya pernah buat di tempat lain dan saya yakin boleh lakukan kerana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah sama,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penduduk dalam program Kita Hulu Kelang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat di sini malam tadi.

Amirudin menjelaskan pelbagai usaha diambil Kerajaan Negeri selama ini untuk memajukan dan menjaga kebajikan rakyat menerusi 46 inisiatif termasuk Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dan Skim Insurans Am Selangor (Insan).

“Sebab itu bila mereka kata ubah, saya tidak tahu apa yang mereka nak ubah. Dia mungkin nak ubah Menteri Besar, wakil rakyat tetapi sampai hari ini mereka tiada rancangan untuk majukan negeri yang ada hanyalah slogan, Selangor akan jauh lebih baik .

“Saya tunjukkan lima tahun kita perintah negeri ini Alhamdulillah dengan kerja berpasukan Selangor bertambah maju dan sekarang kita pegang satu per empat daripada ekonomi Malaysia maknanya kalau kita ada RM10, RM2.50 adalah hasil kerja Selangor,” jelas beliau.

Amirudin turut berterima kasih kepada rakyat Hulu Kelang yang memilihnya sebagai Ahli Parlimen Gombak dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, antara yang dilakukan selepas menjadi wakil rakyat termasuklah menyelesaikan masalah jalan yang dikorek untuk membuat saluran pembentungan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Melawati.

“Semalam Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) pula turun di Jalan Keramat.

“Dia kata insya-Allah tinggal lima peratus sahaja dan mulai minggu depan seluruh Jalan Keramat yang berlubang kita akan kambus dan dapat digunakan semula oleh penduduk,” katanya.

Hari penamaan calon PRN Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

 


Pengarang :