Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan hadirin membacaan doa akhir tahun sempena program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2023 Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rakyat disaran kekalkan perpaduan, elak cetus sentimen pecah belah

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rakyat Selangor diingatkan untuk terus mengekalkan perpaduan dan mengelak dari mencetuskan sentimen yang boleh mendorong perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata rakyat juga perlu taat menjunjung kedaulatan institusi diraja dan mewujudkan suasana harmoni.

“Sejajar dengan tema Maal Hijrah tahun ini, ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, marilah kita bersama bersatu-padu dan bersatu hati dalam menempuh segala onak dan duri dalam usaha menjadikan negeri ini harmoni.

“Kita juga diingatkan supaya tidak berlaku sebarang pertelingkahan yang memungkinkan akan terjadinya kejadian porak-peranda di dalam masyarakat,” katanya.

Berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Selangor 1445H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Haris turut mengajak rakyat untuk bersatu hati, saling menghormati dan berganding bahu dalam membangun negeri ini agar terus cemerlang dan terbilang.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat di negeri ini agar memberikankomitmen yang jitu dan berterusan dalam memelihara perpaduan sesama masyarakat.

“Kita seharusnya menjana semangat ukhuwah yang tidak akan pernah pudar, mengawalnya dengan hati yang penuh kasih sayang dan mengekalkannya dengan tindakan yang bertanggungjawab,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan hadir ke program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program Ambang Hijrah yang bermula jam 6 petang turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Tengku Amir berkenan bersama rakyat membaca doa akhir tahun, solat Maghrib berjemaah, membaca doa awal tahun serta mendengar ceramah Maal Hijrah yang disampaikan penerima Anugerah Buku Negara 2018 dan 2019 Ustaz Aizuddin Kamarul Zaman.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memberi penganugerahan kepada Tokoh Maal Hijrah Selangor Dato’ Mohd Tamyes Abd Wahid, 72, pada program Ambang Hijrah Dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :