ADN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah memberi taklimat ketika Program Gotong-Royong Perdana Pantai Batu Laut pada 6 Ogos 2022. Foto Facebook Team Selangor
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM1.02 juta dibelanja jayakan projek naik taraf DUN Tanjong Sepat

SHAH ALAM, 22 JULAI: Sembilan daripada 18 projek baik pulih dibawah Projek Selangor Penyayang (PSP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat berjaya diselesaikan membabitkan perbelanjaan RM1.02 juta, setakat ini.

Penyandang kerusi DUN berkata projek itu termasuk kerja membaik pulih balai raya, masjid, gelanggang futsal, pentas awam, membaiki dan menurap jalan serta pemasangan 20 tiang lampu solar.

“Sembilan projek sudah selesai dibaik pulih manakala bakinya sedang dalam proses dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Peruntukan ini turut digunakan untuk pembinaan mercu tanda kampung DUN Tanjong Sepat sebagai tarikan atau pengenalan kepada pelancong luar apabila mereka ke sini.

“Kita berharap penduduk selesa dengan kemudahan yang telah diselenggara ini sekali gus memanfaatkan ia sebaiknya dan elak daripada melakukan vandalisme,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

PSP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri berteraskan pembangunan fizikal dan dilaksanakan di kesemua 56 DUN mulai September 2022.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar mengumumkan RM28 juta peruntukan PSP sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan projek itu melibatkan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :