Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengagihkan pek keperluan dapur kepada penduduk Taman Sri Andalas, Klang pada 15 Julai 2021. Foto Facebook N49 DUN Sungai Kandis
ADNSELANGOR

RM1.1 juta dibelanja jayakan 29 projek naik taraf DUN Sungai Kandis

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Sebanyak RM1.195 juta dibelanja bagi pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sehingga kini.

Penyandang kerusi DUN berkata perbelanjaan itu membabitkan 29 projek dengan peruntukan RM695,000 bagi tahun lalu dan RM500,000 setakat Julai tahun ini.

Menurut Mohd Zawawi Ahmad Mughni, projek itu menumpukan kerja menaik taraf tabika dan sekolah, penyelenggaraan parit dan longkang, membaiki dan menurap jalan serta pemasangan lampu solar.

“Daripada kesemua projek itu, harapan saya supaya projek pembangunan infra negeri dapat ditingkatkan lagi.

“Pembangunan dipinggir bandar juga perlu diberi tumpuan kerana cepat rosak akibat tekanan dan perluasan perbandaran, seperti banyak jalan luar bandar cepat rosak kerana kenderaan lebih muatan.

“Kekerapan selenggaraan parit perlu ditambah kerana cepat ditumbuhi hidupan air seperi kangkung, rumput yang menjadi punca aliran air tersekat, jadi ada keperluan cari kaedah lain lebih berkesan dan sesuai untuk selenggaraan parit,” katanya kepada Selangorkini.

PSP merupakan inisiatif Kerajaan Negeri berteraskan pembangunan fizikal dan dilaksanakan di kesemua 56 DUN mulai September 2022.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Selangor memperuntukkan RM28 juta sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan projek itu melibatkan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

 


Pengarang :