Rumah kos rendah yang siap dibina di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rumah kampung, kos rendah dikecualikan cukai setiap tahun hampir RM70 juta

SHAH ALAM, 18 JULAI: Populasi Selangor terus bertambah seiring kemajuannya. Namun ia menimbulkan bermacam isu dan keperluan berkait rutin hidup seharian penduduk.

Cakna dengan perkembangan itu, dalam lima tahun ini, Kerajaan Negeri berjaya melaksana pelbagai program menangani isu setempat, sekali gus dapat memastikan kehidupan rakyat terjaga.

Pengecualian cukai taksiran dan fi lsen penjaja

Pemandangan udara dron rumah kos rendah yang siap dibina di Taman Sungai Yu Indah, Kuala Selangor pada 12 September 2022. Foto HALIM ABDUL RAHMAN/ SELANGORTV

Kebajikan golongan berpendapatan rendah termasuk penjaja dibela menerusi pengecualian cukai taksiran dan fi lesen.

Dianggar melibat kos RM325 juta antara 2018 hingga 2023, usaha itu melegakan rakyat Selangor.

Cukai taksiran dikecualikan membabitkan rumah kos rendah dan rumah kampung, manakala pengecualian fi lesen diberi kepada penjaja kecil, peniaga pasar malam dan pasar tani.

Lesen penjaja sementara semasa pandemik

Lebih 10,000 lesen sementara dikeluarkan kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk berniaga antara Ogos 2020 hingga Jun 2022.

Bantuan kewangan RM500 diberi untuk menampung modal perniagaan. Permohonan lesen dipermudah secara dalam talian bagi perniagaan berisiko rendah.

Sistem parkir pintar

Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) menjimatkan masa pengguna yang tidak perlu lagi membeli kupon bergores mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sejak 2018, Kerajaan Negeri memperkenal sistem parkir elektronik Smart Selangor Parking (SSP) di semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

Aplikasi pintar ini menyelaraskan operasi letak kereta seluruh Selangor dalam satu sistem.

Ia membolehkan pembayaran secara dalam talian dan memudahkan urusan membayar saman.

Aplikasi itu menjadi aplikasi letak kenderaan nombor satu di Malaysia dengan rekod hampir tiga juta pengguna.

RM13 juta naik taraf infrastruktur

Antara 2018 hingga 2023, infrastruktur seperti pasar awam, dewan serba guna dan kawasan rekreasi dinaik taraf dengan dana RM13 juta.

Bas Smart Selangor

Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sistem pengangkutan negeri ditingkatkan menerusi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor. Seramai 44 juta pengguna dicatat antara 2018 hingga 2023.

Sepanjang lima tahun, 166 bas dengan 52 laluan beroperasi dengan peruntukan RM225 juta. Perkhidmatan itu percuma untuk warganegara, manakala warga asing perlu membayar 90 sen.

Sebanyak 20 Bas Smart Selangor disediakan untuk membawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebanyak 10,700 perjalanan antara Januari hingga Oktober 2021.

Perkhidmatan van transit atas permintaan (Demand Responsive Transport-DRT) diperkenal, melengkapkan pengangkutan awam negeri.

Tutup 200 kilang plastik haram

Sebanyak 200 kilang memproses sampah plastik haram ditutup antara 2018 hingga 2020. Selain denda, tanah pemilik kilang dirampas.

Larangan import sampah plastik juga dikuatkuasakan sejak Mac 2022. Lesen perniagaan baharu pula tidak dikeluarkan kepada kilang kitar semula plastik selama lima tahun.

Pembinaan asrama pekerja asing

Iktibar penularan Covid-19 di rumah kongsi dan rumah pekerja asing yang sempit, Kerajaan Negeri membina asrama pekerja berpusat dan asrama pekerja jangka pendek menggunakan garis panduan Majlis Perbandaran Klang.

Naik taraf PBT

Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Empat PBT di Selangor dinaik taraf antara 2019 hingga 2021. Majlis Perbandaran Subang Jaya dinaik taraf kepada majlis bandaraya pada 2020.

Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor pula diisytihar majlis perbandaran antara 2019 hingga 2021.

Garis panduan penubuhan pusat jagaan dan rawatan ibu selepas bersalin dan bayi

Selangor menjadi negeri pertama mengeluarkan lesen dan menyediakan garis panduan penubuhan pusat penjagaan dan rawatan ibu selepas bersalin dan bayi.

Penyeragaman waktu kerja tapak binaan

Prihatin isu pencemaran bunyi, Kerajaan Negeri menyelaras waktu bekerja di tapak pembinaan, sekali gus mengurangkan aduan penduduk.

Lesen perniagaan e-dagang

Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Selangor melancarkan lesen perniagaan e-dagang dan Garis Panduan dan Polisi Kawalan Perniagaan e-dagang.

Ia melindungi hak pengguna dan membantu usahawan dalam talian meningkatkan mutu dan kepatuhan perniagaan.

Inisiatif lindungi kucing jalanan

Boleh memuatkan 200 kucing, Taman Kucing dilengkapi kemudahan termasuk doktor veterinar diwujudkan di Sepang untuk haiwan itu yang terbiar.


Pengarang :