SHAH ALAM, 18 JULAI: Selangor FC menzahirkan rasa amat dukacita terhadap pemergian bekas jurulatihnya B Satiananthan yang meninggal dunia hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata mendiang Satiananthan banyak menabur bakti sepanjang perkhidmatannya selama dua tahun bersama kelab.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2020/08/FW1076689_SG13_25082020_FAS_BN202008248259-500x314.jpg.webp)
“Kami di Selangor FC sangat berdukacita dengan pemergian mendiang. Beliau banyak menabur jasa sepanjang dua tahun kami bersama.
“Ramai pemain yang hebat berlatih bawah beliau. Kami doakan keluarga beliau diberi kekuatan di masa yang sukar ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.
Dr Johan turut menyifatkan mendiang Satiananthan sebagai insan yang mudah didekati, berjiwa besar dan sangat bersemangat dalam kerjayanya.
Tambahnya, mendiang merupakan jurulatih pertama yang dilantik bawah pengurusan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2020/07/FW1065590_SG04_27072020_SELANGOR_LATIHAN_BN202007266255-500x353.jpg.webp)
“Mendiang sering mengutamakan kebajikan serta kejayaan pemain dan kelab. Beliau juga sangat baik dan murah hati,” katanya yang bercadang menziarahi keluarga mendiang hari ini.
Satiananthan, 65, dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.25 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya dipercayai selepas setahun berjuang melawan barah.
Mendiang pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari 2007 hingga 2009 selain pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017.