Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) mendengar taklimat daripada pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kiri) pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor ganti lebih 600km paip usang demi keselesaan rakyat

SHAH ALAM, 26 JULAI: Lebih 600 kilometer (km) paip usang selesai diganti pentadbiran negeri secara berfasa sejak 2016 demi keselesaan rakyat, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penggantian paip kritikal diberi keutamaan, namun tidak menafikan ia mengambil sedikit masa berikutan menelan kos yang tinggi.

“Ramai kata penggantian paip (ini) gantilah semuanya, tetapi ia ada skala ekonomi. Johor mula ganti paip pada 1998 dan hanya selesai pada 2019. Itu Johor, perlukan 20 tahun.

“Kita mula 2016 dan sekarang ini bersambung. (Panjang) kita hampir sama dengan Johor sekitar 26,000km. Jadi kalau nak kritik, penggantian paip zaman saya sebenarnya lebih besar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas melancarkan Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bercakap dalam sesi audio siar Sembang Katup Pintu malam tadi, Amirudin berkata pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau adalah projek terbesar setakat ini bagi menampung keperluan pengguna.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan cubaan pembangkang memanipulasi dan menggunakan isu air sebagai modal politik untuk berkempen adalah tindakan dangkal.

“Kalau nak cerita isu air, saya boleh ceritakan. Tetapi apabila (jadi isu politik) ditambah dengan orang cuba manipulasikan, akhirnya (penerangan itu) tidak akan sampai kepada sasaran,” katanya.

Sebelum ini Amirudin menjelaskan Selangor mempunyai 30,000km paip, dengan 6,000km kritikal perlu diganti segera, namun dibuat secara berfasa berikutan membabitkan kos tinggi.

 

 


Pengarang :