Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak ketika merasmikan Logo Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor giat tingkat jaringan pengangkutan awam di utara, selatan negeri

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kerajaan Selangor menumpu kepada peningkatan berterusan kebolehcapaian dan jaringan pengangkutan awam terutama di kawasan utara dan selatan negeri pada masa depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari percaya peningkatan akses kepada perkhidmatan itu terutama di daerah terlibat bakal memberi nilai tambah kepada daya huni di kawasan berkenaan.

“Pengangkutan awam jadi tumpuan kita. Jaringan kereta api sebagai contoh masih belum lagi sampai di kawasan selatan Selangor ini. (Perlu ada cara) bagaimana kita nak hubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini (selatan Selangor) dan juga ke utara Selangor.

“Sebagai contoh, sekarang jajaran kereta api sudah sampai di Klang, jadi kalau kita boleh sambung sedikit ke Kuala Selangor dan Sabak Bernam ini bermakna orang di sana masih boleh bekerja di Kuala Lumpur dengan menggunakan kereta api. Jadi aset dan nilai hartanah di sana juga akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Selamat Pagi Malaysia khas yang bersiaran secara langsung dari Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Forum Selangor Mobiliti di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 15 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata jaringan pengangkutan awam perlu dipertingkat kerana saban tahun negeri ini menerima kemasukan migrasi yang besar.

“Pada 2008 bancian menunjukkan 4.8 juta penduduk Selangor tetapi kini sudah mencecah 6.8 juta peningkatan yang sangat banyak berbanding negeri lain yang tiada pertambahan begitu,” katanya.

Sebelum ini Amirudin berkata Selangor Mobiliti diperkenal pentadbiran negeri bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam di negeri ini terutama lokasi padat penduduk.

Ia sekali gus membuktikan negeri mempunyai inisiatif untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan kebolehunian.


Pengarang :