Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Selangor sedia awal depani bah, bantu lebih 100,000 isi rumah terkesan

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 22 JULAI: Kerajaan Selangor membuat persiapan awal sejak September 2021 untuk berdepan banjir, namun tidak menjangka bah luar biasa melanda pada 18 Disember 2021.

Bermula mesyuarat penyelarasan, pemberitahuan amaran banjir, persediaan pusat pemindahan sementara dan penyediaan keperluan asas, semuanya sudah diatur.

Tiada ramalan luar biasa, hujan lebat berterusan beberapa hari mengundang bencana itu. Curahan air direkod sehingga 380 milimeter (mm), melebihi purata taburan hujan sebulan.

Ia diakui Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang khas Parlimen 20 Januari 2022. Secara tidak langsung, menepis tohmahan Kerajaan Negeri gagal bersiap siaga.

“Pada masa sama, kejadian air pasang menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.

“Kejadian banjir berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

“Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini… impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga semua pihak,” kata beliau.

 

Menyedari keadaan semakin memburuk apabila hujan lebat tidak berhenti sejak 17 Disember, Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pantas menggerakkan dan mengaktifkan operasi menyelamat 24 jam bermula 18 Disember.

Beliau juga memohon bantuan kerajaan persekutuan serta turun padang memantau pusat pemindahan sementara (PPS) di Padang Jawa, Shah Alam selepas gagal ke kawasan lain akibat hubungan jalan raya terputus.

Tiga hari kemudian, beliau mengumumkan pakej Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM100 juta bagi fasa pembersihan dan pemulihan pascabanjir, iaitu:-

  • RM20 juta pembersihan, RM80 juta pembinaan prasarana
  • RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir
  • RM10,000 bagi waris mangsa yang meninggal dunia
  • bil air selama sebulan dikecuali kepada mangsa bah
  • penangguhan bayaran balik peniaga kecil selama dua bulan
  • tubuh Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit

Laporan Pencapaian dan Prestasi Kerajaan Negeri Selangor 2018 – 2023, merekodkan 115,852 isi rumah dibantu Kerajaan Negeri sehingga 7 Mac 2022.

Setakat 14 Mac 2022, RM132.628 juta dana BSB disalur kepada mangsa melalui Pejabat Tanah dan Galian. Ia termasuk waris 14 mangsa korban yang layak menerima RM140,000.

Klang dan Petaling antara sembilan daerah di Selangor mencatatkan agihan bantuan Selangor Bangkit teramai berbanding kawasan lain.

Klang merekod 60,425 penerima termasuk enam waris mangsa terkorban dengan nilai RM60.48 juta.

Ia disusuli Petaling membabitkan 22,001 penerima dan seorang waris mangsa korban menerima RM22.011 juta.

Kuala Langat mencatat penerima ketiga teramai dengan 11,570 orang termasuk seorang waris meninggal dunia melibatkan sumbangan RM11.58 juta.

Jumlah mangsa banjir dari daerah Gombak, Sabak Bernam dan Hulu Selangor adalah paling rendah dan tiada kematian direkodkan.

Perincian berhubung usaha membantu mangsa bah besar pada Disember 2021 boleh didapati dalam Laporan Pencapaian dan Prestasi Kerajaan Negeri Selangor 2018-2023. Laporan itu boleh dimuat turun di laman sesawang amirudinshari.com


Pengarang :