Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis prapelancaran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15, Shah Alam pada 27 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor terus tingkat agenda pendidikan akademik, manusiawi

SUBANG JAYA, 27 JULAI: Pendidikan saling berhubung kait rapat dengan kehidupan justeru Kerajaan Negeri terus meningkatkan agenda pembangunan pendidikan kepada anak bangsa.

Namun Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pengintelektualan atau tingkat daya fikir masyarakat tidak boleh hanya berfokus atas landasan akademik namun harus disertai pendidikan manusiawi.

“Perlu difahami konsep madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut boleh diadaptasi dalam menggerakkan sektor pendidikan.

“Maksud madani melibatkan pendidikan pastinya membawa makna cukup penting untuk kita bawa bersama dalam menunjangi kesepaduan sistem pendidikan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berucap melancarkan program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Memberdaya Mahasiswa Berprestasi, Merealisasi Selangor Madani di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Amirudin menambah universiti tidak boleh dilihat sebagai pusat yang hanya melahirkan insan berilmu tetapi perlu lebih meluas konteksnya.

“Adakah universiti hanya ingin melahirkan pekerja atau mereka yang boleh mengisi pasaran? Sudah pasti tidak kerana universiti juga ingin menyediakan pimpinan warisan masa depan.

“Untuk mengetuai masa depan kita tidak boleh biarkan mahasiswa tertumpu kepada bidang-bidang serta kawasan yang mereka tekuni sahaja dalam masa sama mereka perlu memahami dunia dalam kerangka sebagai seorang manusia.

“Inilah antara ciri yang harus ditekankan dalam pembangunan mahasiswa dan mahasiswi sebab itu bukan hanya soal dana, geran kajian untuk menepati keperluan pasaran atau teknologi, tapi kita juga harus melihat dengan teliti bagaimana pembentukan karekter mahasiswa yang bukan hanya nak mengisi pasaran tetapi sebagai pemimpin,” katanya.


Pengarang :