Pemain sepak takraw negara Azlan Alias ketika beraksi menentang pasukan tuan rumah Thailand di pentas separuh akhir acara regu berpasukan lelaki pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok pada 30 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sepak takraw dipertanding dalam tiga edisi Sukan Asia, 2026 hingga 2034

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Majlis Olimpik Asia (OCA) mengesahkan sepak takraw kekal dipertandingkan dalam tiga edisi Sukan Asia akan datang, dari 2026 hingga 2034, menurut Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Temasya Sukan Asia 2026 akan diadakan di Nagoya, Jepun; Doha, Qatar pada 2030 manakala edisi 2034 di Riyadh, Arab Saudi.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan hari ini berkata ia merupakan pengiktirafan besar kepada sukan sepak takraw.

Sepak takraw diperkenalkan pada edisi 1990 di Beijing, China dan akan dipertandingkan pada Sukan Asia Hangzhou, China, yang dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kuwait Sheikh Talal Al-Fahad Ahmad J Al-Sabah kerana dipilih sebagai Presiden OCA bagi penggal 2023-2027.

“ISTAF dan ASTAF akan bekerjasama rapat di bawah kepimpinan Sheikh Talal Al-Fahad Ahmad J Al-Sabah, untuk terus menyokong kami dalam memartabatkan sepak takraw di peringkat antarabangsa bagi memberi manfaat kepada belia di Asia khususnya dan seluruh dunia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :