Jemaah menunaikan solat sunat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Siasat, ambil tindakan segera pihak dakwa Rasulullah sebagai Allah

GEORGE TOWN, 20 JULAI: Pihak berkuasa agama Islam diminta mengambil tindakan segera terhadap beberapa lelaki dan wanita, dipercayai daripada sebuah keluarga, yang mengisytiharkan kepercayaan karut mereka bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata tindakan mereka dalam video yang tular di media sosial jelas menunjukkan satu lagi ajaran sesat dan ia perlu dilurus serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Siasatan perlu dijalankan segera bagi mengenal pasti individu-individu itu untuk diminta bertaubat dan jika mereka berdegil untuk terus berpegang dengan kesesatan tersebut maka mereka perlulah dihadapkan ke Mahkamah Syariah serta dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tujuan sebenar di sebalik tindakan itu tidak dapat dikenal pasti namun tidak diragui lagi bahawa kepercayaan sedemikian adalah satu lagi ajaran sesat.

“Kita sedia maklum bahawa di dalam ajaran Islam, Nabi Muhammad adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :