Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama pimpinan HARAPAN dan Barisan Nasional bergambar bersama pada program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sokong kerajaan sedia ada, elak perpaduan rosak, rakyat berpecah

KUALA SELANGOR, 13 JULAI: Pengundi diminta membantu Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri bagi mengelakkan rakyat berpecah.

Pengerusi HARAPAN Selangor berkata sokongan berterusan kepada kerajaan sedia ada penting bagi memastikan negeri dan negara dapat diselamatkan dari pihak tak bertanggungjawab.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Kalau kita bagi ruang (undi) kepada mereka, kita bagi tapak rosakkan perpaduan yang ada. Mereka nak rosakkan Putrajaya yang bekerja keras setiap hari mahu pulihkan negara kita.

“Jadi saya merayu kerjasama semua. Kita juga perlu kerja berpasukan untuk cari titik persamaan. Insya-Allah kita boleh teruskan apa dah kita capai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berucap di pentas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri Permatang malam tadi, Amirudin menuntut seluruh jentera HARAPAN dan BN untuk mempertahankan kerusi disandang demi mengukuhkan pentadbiran sedia ada bagi meneruskan kejayaan.

“Kali ini cabaran bukan mudah sebab kita berlawan dengan orang yang kita kenal. Ada bekas ketua dan kawan tetapi demi negara kita kena selamatkan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, HARAPAN mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Sebelum DUN dibubarkan, HARAPAN memiliki 40 kerusi (KEADILAN-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang serta Warisan masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.


Pengarang :