Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Barangan berkualiti, murah beri peluang semua golongan berbelanja di JER

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 13 JULAI: Tawaran barangan asas berkualiti pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) memberi peluang kepada semua golongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang membeli keperluan dapur untuk keluarga.

Penyandang kerusi DUN berkenaan yang melawat program JER di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor semalam berkata ramai penduduk yang ditemuinya berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri dengan menyediakan jualan murah.

“Penduduk akui dapat berjimat setiap kali berbelanja dan mereka turut memuji kesedapan beras keluaran Ehsan yang dijual di JER kerana berkualiti, sedap dan lambat basi.

“Sambutan semakin memberangsangkan setiap kali jualan berlangsung. Ini adalah JER ketiga di DUN Permatang bulan ini dan program sama akan diadakan di Dewan Terbuka Kampung Ujong Permatang pada 15 Julai.” kata Rozana Zainal Abidin ketika dihubungi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin menyantuni pengunjung Jualan Ehsan Rahmah di Kampung Raja Musa, Kuala Selangor pada 12 Julai 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Semalam, lebih 300 penduduk kampung berbelanja di jualan murah dengan 500 ekor ayam dan 300 kampit beras habis dijual dalam tempoh dua jam.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mula menjual minyak masak paket satu kg pada harga serendah RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan pengunjung.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tersebut yang sebelum ini dikenali Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga 1 September ini susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :