Calon Pakatan Harapan DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri (kiri) berbual dengan Airul Nizam Abd Rahman (kanan) pada sesi ziarah kasih di Taman Pendamar Indah pada 29 Julai 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Suami pesakit barah terharu dikunjungi calon HARAPAN DUN Pelabuhan Klang

KLANG, 30 JULAI: Suami kepada seorang pesakit barah usus tahap empat terharu apabila kediamannya dikunjungi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Lebih bermakna, Airul Nizam Abd Rahman, 44, berkata Azmizam juga pernah menziarahi dan memberikan kerusi roda untuk kegunaan isterinya sebelum ini.

“Sebelum ini beliau pernah datang untuk berikan kerusi roda kepada isteri saya Norainiwati Mat Akhir. Alhamdulillah dengan bantuan itu ia sedikit sebanyak dapat memudahkan pergerakan isteri.

“Saya berterima kasih dan terharu di atas kedatangan beliau (Azmizam) lagi pada hari ini meski tidak berpeluang melawat isteri saya kerana kebetulan dia (isteri) ditahan wad semalam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pendamar Indah di sini malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai kesihatan isterinya, Airul Nizam memohon doa orang ramai agar Norainiwati yang menderita penyakit itu sejak 2021 diberi kesembuhan.

Terdahulu Azmizam meluangkan masa hampir sejam menyantuni keluarga berkenaan dan menyertai majlis doa selamat di kediaman Airul Nizam.


Pengarang :