SHAH ALAM, 2 JULAI: Kejayaan Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 membuktikan ketekalan dalam memantapkan ekonomi negeri.
Dato’ Menteri Besar menjelaskan sumbangan KDNK 25.5 peratus dengan peningkatan konsisten sejak 2008 juga membuktikan Selangor masih lagi menjadi pusat tarikan dan aktiviti ekonomi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari beberapa langkah dan dasar yang diperkenalkan Selangor berjaya mewujudkan tarikan getaran ekonomi selain mengekalkan aktiviti ekonomi sedia ada.
“Pelaksanaan beberapa dasar yang mempermudah kebenaran dan pelaksanaan perniagaan serta pelaburan, kelulusan pusat sehenti yang lebih menyeluruh mengambil kira keperluan dan kemudahan kepada pelabur yang hadir selain penyediaan sumber tenaga berkemampuan dan memenuhi keperluan tenaga kerja mendorong perkembangan ini.
“Selain itu kerjasama dengan syarikat daripada luar seperti Siemens, FESTO Pte. Ltd dan Apple untuk membina pusat kecemerlangan mereka yang mampu melatih sumber tenaga kerja berkualiti dan berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara Selamat Pagi Malaysia khas yang bersiaran secara langsung dari Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/10/JSP6-500x339.jpg)
Amirudin berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun ke depan adalah seimbang dan mencakupi semua lapisan daerah dan rakyat.
“Semangat dan hasrat RS-1 dirangka bagi memastikan nilai setempat tidak terganggu tetapi dikembangkan dan dibugarkan.
“Rancangan ekonomi itu dibuat mengikut keunikan kawasan sebagai contoh inisiatif Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) sebahagian besarnya adalah projek pelancongan dan pertanian selain sedikit perumahan dan pendaratan ikan.
“Di kawasan selatan Selangor selain mahu menjadikan Pulau Carey sebagai hab logistik, kita juga akan tumpukan beberapa projek pelancongan. Ini bagi memastikan semua daerah mendapat nilai kemajuan dan pembangunan yang tinggi untuk pendapatan serta kehidupan yang tinggi selaras sasaran RS-1 menjadikan Selangor negeri berdaya huni, makmur dan pintar,” katanya.
Sumbangan ekonomi Selangor kepada KDNK meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022, bertambah lebih baik daripada 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga meningkat sebanyak 11.9 peratus, melebihi pertumbuhan seluruh negara pada kadar 8.7 peratus tahun lalu.