Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menandatangani plak perasmian Green Industrial Park (GRIP) di Seksyen 11, Kota Puteri, Gombak pada 25 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Taman industri Kota Puteri cipta peluang kerja, kekalkan status ekonomi negeri

OLEH DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 25 JULAI: Projek taman perindustrian hijau (GRIP) yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kota Puteri di sini dijangka mencipta sehingga 5,000 peluang pekerjaan.

Dato’ Menteri Besar berkata projek itu juga akan memangkinkan sosioekonomi setempat dan mengekalkan status negeri sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Berkeluasan 150.8 hektar, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembangunan berkonsepkan taman perindustrian berpusat dan berpagar itu mempunyai nilai kasar pembangunan bernilai RM2 bilion.

“Ini satu perkembangan yang sangat positif untuk kita mencipta ruang kerja dan menarik pelaburan.

Replika Green Industrial Park  (GRIP) di Seksyen 11, Kota Puteri, Gombak pada 25 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“PKNS mempunyai rangkaian dan ekosistem lengkap dengan menyediakan perumahan serta infrastruktur dalam perbandaran perindustrian ini,” katanya selepas melancarkan projek itu hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata PKNS bersama Invest Selangor Sdn Bhd meneroka untuk membangunkan taman berkenaan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemasangan dron.

“Ini adalah sebahagian daripada perancangan PKNS yang cuba menarik dan mengambil kesempatan daripada perkembangan industri ini yang sangat pesat,” katanya lagi.

Projek tersebut sebahagian daripada inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dengan lebih 200 kilang bakal dibina untuk menjalankan aktiviti perindustrian mesra alam sekitar.

GRIP, yang dibangunkan dalam tiga fasa akan dimulakan pada suku keempat tahun ini atas tanah seluas 50 hektar. Projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.

 

 


Pengarang :