Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ pada 12 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tambah baik skim beri peluang warga emas nikmati bantuan ketika hayat

PETALING JAYA, 6 JULAI: Penambahbaikan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bertujuan supaya penerima berusia 60 tahun ke atas berpeluang menikmati bantuan kebajikan selagi mereka ada hayat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mahu warga emas dihargai ketika masih hidup melalui pemberian baucar berbanding sumbangan khairat kematian seperti amalan sebelum ini.

“Program itu (sebelum 2019) cuma bagi duit selepas warga emas meninggal dunia. Jadi kita tukar, tiap-tiap tahun (beri) baucar Jom Shopping kepada warga emas berumur dari 60 tahun sampai meninggal dunia.

“Adakah kita kurangkan (nilai baucar)? Tidak. Kita jadikan RM100 pada 2019 dan bagi RM150 kepada setiap warga emas mulai tahun ini dalam Belanjawan Selangor 2023,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu berucap demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri Taman Medan dalam program Jelajah Madani malam tadi.

Dalam ceramah politik baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melempar tuduhan kononnya Kerajaan Negeri tidak lagi membela kebajikan warga emas.

Bekas Dato’ Menteri Besar itu membuat dakwaan demikian berikutan ketiadaan sumbangan khairat kematian dalam SMUE yang ditambah baik sejak Selangor dipimpin Amirudin.


Pengarang :