Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani HARAPAN di Taman Medan, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor catat pelaburan paling rendah bawah pentadbiran Azmin

PETALING JAYA, 6 JULAI: Selangor mencatat pelaburan paling rendah dalam tempoh 15 tahun bawah pentadbiran mantan Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata mantan menteri hal ehwal ekonomi itu hanya mampu menarik pelaburan setakat RM7 bilion semasa memimpin negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sumbangan tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga hanya 23.7 peratus pada 2018, berbanding 25.5 peratus yang direkodkan tahun lalu.

“Lepas dia (Azmin) keluar (parti) separuh jalan dan jadi menteri ekonomi, dia bangkitkan pula kata kita (Selangor) kalah (sumbangan KDNK) dengan Johor.

“Saya pun semak rupanya masa dia jadi menteri besar, pelaburan Selangor antara RM6 hingga RM7 bilion sahaja. Paling dalam tempoh 15 tahun Selangor bawah HARAPAN,” katanya di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Madani HARAPAN di Taman Medan, Petaling Jaya pada 5 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bercakap pada Jelajah Madani malam tadi, Amirudin berkata prestasi ekonomi negeri melonjak kepada RM18 bilion selepas pertukaran pemimpin, dengan RM17 bilion direkod tahun lepas.

“Dia (Azmin) kata (pelaburan melonjak) kerja dia, masa itu dia jadi menteri ekonomi dia tidak buat apa-apa. Dia fikir nak jatuhkan kerajaan dan halang Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.

“Dia khianat mandat rakyat dan hari ini dia berputih mata Anwar jadi perdana menteri ke-10,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar disambut tepukan gemuruh.

Selangor mencatat pertumbuhan tertinggi dan sumbangan terbesar kepada KDNK negara sejak HARAPAN mentadbir negeri mulai 2008, dengan 25.5 peratus direkodkan.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah itu melebihi satu perempat ekonomi negara, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021.

 


Pengarang :