Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kiri) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) pada sidang media selepas melancarkan program MyPSV peringkat kebangsaan 2023 di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali pada 3 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tambah jumlah bas tampung permintaan tinggi warga Lembah Klang

HULU SELANGOR, 3 JULAI: Agenda memperkasa pengangkutan awam Selangor dengan kerjasama kerajaan persekutuan terus dipergiat bagi menampung permintaan tinggi penduduk terutama di Lembah Klang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan penambahan jumlah bas antara yang diberi perhatian secara berperingkat mulai tahun depan berikutan keperluan mendesak perkhidmatan itu.

“Lembah Klang memerlukan penambahan bas yang mendadak kerana sekarang ini tidak memenuhi keperluan harian sebanyak 2,000 bas. Bas Smart Selangor yang ada juga tidak mencukupi.

“Kementerian Pengangkutan bersama syarikat bas swasta berbincang supaya mereka melabur bas baharu dan perbincangan lanjut akan dibuat dengan Selangor untuk memenuhi permintaan mendesak,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program MyPSV peringkat kebangsaan 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Loke berkata kerajaan mempertimbang mewujudkan semula perkhidmatan bas mini untuk diakses di kawasan perumahan berikutan wujud permintaan bagi lokasi berkenaan.

“Banyak kawasan perumahan padat dan mereka minta kerajaan sediakan perkhidmatan bas ke kawasan mereka. Kita akan lihat ini sebagai agenda memperkasa pengangkutan awam di Selangor,” katanya.

Lebih 60 juta penumpang dicatat menggunakan Bas Smart Selangor sejak perkhidmatan percuma itu diperkenal pentadbiran negeri pada 2015, dengan peruntukan tahunan RM45 juta.

Kerajaan Negeri turut melaksanakan Selangor Mobility, yang menumpukan mod pengangkutan lebih menyeluruh berikutan kadar penggunaan pengangkutan awam masih rendah.

Sistem awam bersepadu itu turut menggabungkan kenderaan mikrobiliti, e-skuter, basikal, laluan pejalan kaki dan van transit atas permintaan bagi menyelesaikan masalah kesalinghubungan di sesebuah lokaliti.

 


Pengarang :