Penduduk memetik cili di projek kebun komuniti Kerdas 2 dengan tanaman sistem fertigasi di Kampung Kerdas, Gombak pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanaman cili fertigasi bantu tingkat ekonomi penduduk Kampung Kerdas

GOMBAK, 4 JULAI: Projek tanaman cili fertigasi yang diusahakan penduduk Kampung Kerdas di sini berjaya meraih hasil sehingga 700kg dengan nilai RM14,000 dalam tempoh dua bulan.

Ketua kampungnya, Nasaruddin Mohd Darwis berkata Projek Kebun Komuniti Kerdas itu memberi peluang pekerjaan kepada belia, ibu tunggal dan warga emas.

Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK Kampung Kerdas,Gombak Nasaruddin Mohd Darwis

“Kami baru mulakan projek ini tiga bulan lalu. Idea ini muncul kerana kami mahu bantu tingkatkan ekonomi penduduk serta memanfaatkan tanah yang ada.

“Jadi, kami mulakan dahulu dengan 1,200 polibeg pokok cili. Syukur kerana sekarang ia sudah membuahkan hasil,” katanya kepada Selangorkini, baru-baru ini.

Menurut Nasaruddin, projek tanaman di atas tanah berkeluasan satu ekar itu mendapat bimbingan Jabatan Pertanian negeri selain bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak.

Jelasnya, hasil pertanian dijual di pasar borong berhampiran serta turut mendapat permintaan sehingga ke Muar, Johor.

Penduduk menunjukkan cili yang dipetik di projek kebun komuniti Kerdas 2 dengan tanaman sistem fertigasi di Kampung Kerdas, Gombak pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“10 peratus daripada hasil jualan dimasukkan ke tabung kampung, manakala selebihnya diagih kepada penduduk yang bekerja menjaga tanaman,” katanya.

Nasaruddin berkata, beliau turut merancang menambah 1,000 lagi polibag pokok cili dalam tempoh terdekat, selain penternakan ikan keli secara dalam sangkar.

“Saya mahu membantu penduduk Kampung Kerdas menjana ekonomi sendiri. Banyak yang kita rancang pada masa hadapan dan saya berharap ia terlaksana,” katanya.


Pengarang :