Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menyerahkan surat tawaran pemilikan tanah (notis 5A) kepada penduduk di Dewan MPAJ Taman Keramat, Ampang Jaya pada 24 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiada notis roboh rumah Taman Sungai Sireh, jajaran ERCL belum muktamad

AMPANG JAYA 24 JULAI: Tiada notis perobohan dikeluarkan ke atas Taman Sungai Sireh, Klang yang dikatakan terlibat dalam jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perbincangan dengan pemaju masih berlangsung berikutan kerja pembinaan berkenaan hanya bermula pada 2025.

Menyifatkan pembangkang memutar belit isu itu, beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor menegaskan jajaran sebenar belum dimuktamad dan perkara tersebut masih dalam penelitian.

“Ini bermakna perobohan tidak dibuat dalam masa terdekat, yang berlaku adalah penilaian untuk dicadang (kepada pemaju). Kerajaan Negeri perlu mendapat realiti manakah jajaran sebenar.

“Buat masa ini, notis memang belum keluar. Jadi, dia (pemimpin pembangkang) tahu awal berkenaan maklumat ini, mungkin ada maklumat dia dapat daripada jin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan surat tawaran pemilikan tanah (Notis 5A) kepada 46 penduduk Taman Keramat di Dewan MPAJ Taman Keramat di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular rakaman memaparkan pemimpin pembangkang meminta Amirudin bertemu dan berbincang dengan penduduk Taman Sungai Sireh berhubung pembinaan ECRL di kawasan tersebut.

Pada 18 Februari, Amirudin memberi jaminan untuk membela 89 penduduk di Pelabuhan Klang yang terjejas termasuk menyediakan rumah ganti jika jajaran tersebut tidak dialih ke lokasi lain.

Pada April 2021, kerajaan persekutuan memaklumkan pembinaan di Seksyen C Jajaran Utara melibatkan stesen Temerloh, Bentong, Gombak, Hulu Selangor dan Klang.


Pengarang :