Pasukan Selangor bergambar bersama Piala kejohanan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDASUKANKINI

Tiket aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-19 dijual akhir Ogos ini

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Tiket aksi Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-19 yang kembali dianjurkan selepas tiga tahun ditangguhkan, akan dijual pada akhir Ogos ini.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket yang dijual pada harga RM10 bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Oktober depan.

“Kita menjual tiket dengan harga murah dan penonton berpeluang mendapat cabutan bertuah. Seperti sebelum ini ada hadiah kereta, motosikal dan penginapan.

“Kami menyasarkan 70,000 penonton akan memenuhi stadium menyaksikan perlawanan itu,” katanya ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa TSSC edisi ke-19 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan stadium yang sedang dibaik pulih dengan kerja penggantian rumput kepada jenis Zeon Zoysia itu siap sebelum kejohanan berlangsung.

Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Abd Karim berkata selain menyaksikan perlawanan bola sepak, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air Datuk Jamal Abdillah.

TSSC yang diilhamkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001 itu bertujuan mengembalikan nostalgia kehebatan pemain ‘The Red Giants’ dan Singapura yang kerap bertembung dalam aksi final Piala Malaya dan Piala Malaysia.

Kejohanan itu bakal melibatkan pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura bagi merebut piala berprestij TSSC serta wang tunai RM80,000 selain perlawanan antara veteran kedua-dua pasukan sebagai aksi pembuka tirai.

Kali terakhir TSSC dianjurkan ialah pada 2019 dengan Pilihan Selangor merangkul kejuaraan selepas menundukkan Pilihan Singapura 1-0.

– BERNAMA


Pengarang :