Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tuisyen percuma negeri bantu pelajar sering gagal periksa masuk universiti

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bangga menjadi salah seorang peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang berjaya meningkatkan prestasi dalam peperiksaan itu dua tahun lalu.

Tunku Muhammad Taqriz Tunku Rizal Shah, 19, mengakui dirinya seorang pelajar yang lemah selain gagal hampir kebanyakan mata pelajaran diambil semasa tingkatan empat dan lima.

Dia kemudian berpeluang mengikuti kelas tambahan ditawar percuma oleh Kerajaan Selangor selepas dihubungi seorang guru yang bimbang dengan prestasi semasa pembelajarannya pada waktu itu.

“Pada awalnya saya tidak tahu berkaitan program ini sebelum seorang guru hantar mesej dan jemput saya untuk menyertainya. Kebetulan masa percubaan SPM, keputusan saya sangat teruk dan banyak dapat gred G (gagal).

“Saya mengikuti pembelajaran secara dalam talian beberapa bulan sebelum SPM. Alhamdulillah, tidak sangka keputusan jauh berbeza berbanding sebelum ini walaupun 1A tetapi subjek lain dapat kredit,” katanya kepada Selangorkini.

Tunku Muhammad Taqriz Tunku Rizal Shah ketika ditemui pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Hulu Kelang  di Melawati Square pada 19 Julai 2023. Foto WAN ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Berbekalkan keputusan itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Gombak berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memperkenalkan program ini kepada pelajar. Tanpa program ini saya rasa agak sukar untuk baiki kelemahan saya dalam pelajaran.

“Diharap pentadbiran negeri sedia ada kekal supaya program seumpama ini terus berjalan. Saya juga menggalakkan calon SPM memanfaatkan program ini sebaiknya kerana ia sangat membantu,” katanya yang merupakan penuntut semester dua jurusan seni halus.

Bagi pasangan kembarnya, Muhammad Thaqif, walaupun tidak menyertai program itu atas faktor prestasi akademiknya yang cemerlang, namun dia dapat melihat kesungguhan adiknya sepanjang mengikuti kelas PTRS.

“Mungkin modul yang diperkenalkan dalam PTRS mudah bagi dia (Taqriz) dan hasilnya dia lulus semua mata pelajaran diduduki.

“Saya berharap program ini diteruskan pada tahun-tahun mendatang bagi membantu pelajar yang agak ketinggalan dalam pelajaran selain meringankan beban kewangan ibu bapa,” katanya.

Pada 6 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bilangan pelajar yang mendapat manfaat program tuisyen percuma di negeri ini meningkat 10 kali ganda sejak pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelaras inisiatif itu dengan 65,000 mengikutinya setakat ini.

Tahun lalu, sebanyak RM7 juta diperuntuk untuk menjayakan PTRS bagi memantapkan pengisian portal http://ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Program itu diperkenal secara dalam talian bagi membantu pelajar ketika negara dilanda pandemik Covid-19.


Pengarang :