Jentera Pilihan Raya mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pelancaran jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Hulu Kelang di Melawati Square pada 19 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Umno Selangor: Undi PN umpama relakan parti diharamkan

HULU KELANG, 20 JULAI: Ahli dan penyokong Umno diseru supaya tidak memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) berikutan pendedahan rancangan untuk mengharamkan parti tersebut.

Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata keputusan memberi undi kepada PN umpama merelakan Umno yang ditubuhkan pada 1946 diharamkan jika PN berkuasa.

Beliau juga mempersoal bekas Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuma mahu membubar Umno, bukan mengharamkannya.

“Apa yang Noh sebut semalam (kelmarin), konon (Tun Dr) Mahathir tidak mahu mengharamkan Umno, Mahathir hanya mahu membubarkan Umno. Apa beza bubar dan haramkan Umno?

Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berucap sempena Jelajah Mega Madani dan pelancaran Jentera Perpaduan di Laman Niaga Bandar Baru Bangi, Bangi, Hulu Langat pada 7 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya mahu ingatkan sekali lagi pengundi Umno, jangan tertipu. Satu undi untuk mereka (PN) seperti benarkan Umno diharamkan pada masa akan datang.

“Kalau sayang kepada parti ini (jangan undi PN),” katanya dalam program pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Perpaduan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang malam tadi.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

Noh yang dipecat Umno pada Januari dan berkempen untuk PN mendakwa Dr Mahathir mencadangkan supaya Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dibubar untuk menubuhkan sebuah parti baharu.

Pada 15 Julai, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Dr Mahathir dan Muhyiddin berpakat untuk mengharamkan Umno ketika mentadbir negara selepas menang pilihan raya umum 2018.

Sekalipun berseteru sekian lama, pengerusi Pakatan Harapan itu dalam ceramah di Guar Chempedak, Pulau Pinang menegaskan beliau sama sekali tidak setuju untuk mengharamkan Umno.


Pengarang :