Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Wang tunai menanti juara pertandingan memasak di pesta buku kanak-kanak

SHAH ALAM, 23 JULAI: Individu berusia 18 tahun ke atas dipelawa menyertai pertandingan inovasi masakan berasaskan sayuran dan protein sempena Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.

Ketua Jawatankuasa Aktiviti Norelmin Sapuan memaklumkan pertandingan yang memerlukan peserta menghasilkan satu atau dua menu akan berlangsung pada 30 Julai jam 12 tengah hari hingga 1 petang di Kompleks PKNS di sini.

“Mereka boleh menggunakan sekurang-kurangnya satu jenis sayur dan ayam, daging atau ikan sebagai inovasi dan mereka perlu memasak makanan tersebut di rumah.

“Manakala, ketika di lokasi pertandingan peserta hanya perlu menyusun atau menghias makanan berkenaan dengan kreatif termasuk memaklumkan nama dan bahan masakan diguna, masa yang diberi 40 minit,” katanya.

Norelmin berkata aspek kebersihan turut dititikberatkan dan penjurian adalah berdasarkan kriteria persembahan masakan, kreativiti, rasa dan kesesuaian untuk kanak-kanak.

Pemenang tempat pertama berpeluang menerima hadiah wang tunai RM200 diikuti tempat kedua (RM150), tempat ketiga (RM100) manakala 12 hadiah saguhati (RM50).

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Siti Yusrina di talian 017-295 5303 atau Amirah 013-220 6598.

Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal berlangsung di Kompleks PKNS di sini dari 27 hingga 30 Julai ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) selepas menyampaikan hadiah program tokoh nilam peringkat daerah Petaling Perdana pada 7 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Acara yang julung kali diadakan di negeri ini akan disertai lebih 100 pempamer terdiri daripada penerbit dan penulis buku genre kanak-kanak yang menghasilkan karya untuk peringkat umur bawah 18 tahun.

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.


Pengarang :