BUDAYARENCANA

Yang ditunggu

Oleh  Mahizan Husain
Setelah sekian lama menunggu, orang yang ditunggu-tunggu pun tiba.
“Dia sudah tiba…” kata salah daripada orang-orang yang menunggu dengan nada gembira.
“Kau pasti orang yang tiba itu adalah orang yang ditunggu-tunggu?” salah seorang di kalangan orang-orang yang menunggu bertanya.
“Semua orang berkata  begitu. Semua orang sudah tahu. Orang yang ditunggu-tunggu selama ini sudah tiba.” Satu suara menjawab yakin.
“Bagaimana kalau orang yang ditunggu-tunggu, bukan orang yang tiba itu?” Satu suara lain menyoal.
“Kalau sudah semua orang berkata orang yang ditunggu-tunggu itu sudah tiba, tentulah orang yang tiba itu adalah orang yang ditunggu-tunggu.” Balas suara yang menjawab yakin tadi.
“Tidak semua kata-kata orang boleh dipercaya. Tambah-tambah lagi jika yang disebar hanyalah khabar angin. Mungkin orang yang ditunggu-tunggu, bukan orang yang tiba itu.” Sokong yang lain dengan suara ragu.
“Kalau begitu, macam mana kita mahu tahu jika yang tiba itu benar-benar adalah orang yang ditunggu-tunggu?” Yang lain pula menyahut dengan soalan yang makin terbelit.
Hening merampas suasana.
Tiada siapa yang bersuara.
Semua sibuk memikirkan persoalan yang sedang mengapung tanpa jawapan.
“Jika benar dia adalah orang yang ditunggu-tunggu, apakah tanda-tanda untuk kita mengenalinya?” Satu soalan lagi dikemuka.
“Sudah tentulah orang yang ditunggu-tunggu itu adalah orang yang bijaksana. Oleh sebab itulah dia ditunggu-tunggu.” Tukas seseorang dalam kumpulan itu dengan sigap.
“Jika yang ditunggu-tunggu itu bukanlah orang bijaksana seperti yang disangka, bagaimana?” Kembali keraguan mengambil tempat dalam percakapan orang-orang yang bilangannya empat.
“Kali ini kita jangan terpedaya lagi. Sudah beberapa orang yang kita sangka bijaksana tapi ternyata mereka bukanlah orang yang kita tunggu-tunggu. Kita menyangka sudah dapat mencari orang yang benar-benar bijaksana, sebaliknya kita yang diperbodohkan oleh orang-orang kita sangka bijaksana.” Ucap Orang yang bersikap seperti ketua dalam orang berempat orang itu.
“Kali ini kita harus berhati-hati. Jangan sampai kita cepat percaya lagi seperti sebelum ini.” Orang yang bersuara paling lembut dalam kumpulan empat orang itu menegaskan pendirian.
“Sudah sampai masanya kita memastikan apakah orang yang kita tunggu-tunggu itu adalah orang bijaksana yang kita tunggu-tunggu selama ini.” Orang kedua dalam kumpulan itu bersuara. Ia tampak bimbang sebaik-baik saja selesai menyampaikan kata.
“Ya, benar. Kita harus memastikan apakah orang itu adalah orang bijaksana yang benar-benar bijaksana dan dia merupakan orang bijaksana yang kita tunggu-tunggu sekian lama,” sambut seorang lagi.
“Kita jangan tertipu lagi kali seperti sebelum ini.” Orang ketiga memberi amaran.
Belum sempat yang lain-lain menyampuk kata, si ketua memaklumkan dengan cepat, “Aku dengar orang bijaksana itu berada di kaki sebuah gunung untuk jangka masa yang singkat. Masalahnya, dia enggan berjumpa sesiapa.” Suara ketua terdengar sedikit hampa.
“Jika dia enggan berjumpa sesiapa, bagaimana kita mahu memastikan dia adalah orang bijaksana yang kita tunggu-tunggu selama ini?” Orang kedua memintas kata.
“Kita harus cari jalan untuk berjumpa dengannya. Jika tidak, kita tak tahu apakah dia orang bijaksana yang kita tunggu-tunggu.” Orang ketiga mengutarakan pendapat.
“Kau tahu di manakah letaknya gunung itu?” Orang keempat bertanya pada orang yang berperanan seperti ketua.
“Aku tidak tahu,” jawab ketua.
“Jika kau tak tahu, bagaimana kita mahu mencari orang bijaksana itu?” Muka orang keempat berkerut.
“Tapi…ada satu orang yang tahu di mana letaknya gunung itu…” ujar ketua kemudian dengan mata yang menyinarkan harapan.
“Besok awal pagi, kita berempat pergi berjumpa orang yang tahu di mana letaknya gunung itu.” Ketua membuat ketetapan. Yang lain menurut tanpa banyak soal.
Keempat orang itu pun pergi berjumpa dengan orang yang dikatakan tahu di mana orang bijaksana yang ditunggu-tunggu itu berada. Hanya orang yang bakal ditemui saja yang tahu arah di mana letaknya gunung tempat orang bijaksana itu berada untuk sementara waktu – sebelum beredar dan menghilang diri.
Mereka berempat terkejut melihat orang yang akan menjadi penunjuk arah. Dia seorang tua yang buta.
“Ya. Aku buta. Aku akan menjadi penunjuk arah kamu semua.” Orang buta itu seakan dapat melihat  rasa terkejut di wajah empat orang yang sedang melihatnya.
“Kaki gunung itu sangat jauh. Bersediakah kamu berempat untuk menempuh perjalanan yang jauh?”
“Kami bersedia.” Jawab ketua. “Sejauh mana perjalanan yang akan kami lalui, kami akan laluinya dengan berani,” tambahnya.
“Perjalanan akan mengambil masa selama empat hari dan kita hanya akan berhenti di malam hari.” Orang buta itu memaklumkan.
Arakian, bermulalah perjalanan menuju ke kaki gunung untuk mencari orang bijaksana. Empat orang celik berjalan di belakang orang tua yang buta.
Mereka melintasi gurun tandus yang luas, hawa panas, ribut pasir, kawasan wadi yang cuma ada sedikit air dan tidur dalam usapan angin semilir ketika cahaya siang mula berakhir.
Orang tua buta bertongkat itu jarang bercakap dan berjalan tanpa menunjukkan sedikit pun rasa penat, meski berjalan di bawah bahang matahari yang menyengat.
“Wahai penunjuk arah, bagaimana kita mahu menjadi orang yang tidak mudah dipedaya?” Satu soalan ditanya ketika mereka semua duduk melepas lelah di bawah sebatang pokok kurus tidak berdaun dengan dahan berceranggah.
“Bukan semua orang yang pandai berkata-kata itu adalah orang yang pandai. Jadi, berhati-hatilah dengan orang yang pandai berkata-kata.” Orang tua buta memberikan jawapan.
Mereka lalu meneruskan perjalanan. Masuk hari keempat, orang tua buta itu tiba-tiba berhenti berjalan.
“Setakat ini saja aku dapat menunjuk arah. Kalian teruskan berjalan sehingga sampai di kaki gunung. Orang bijaksana yang kamu tunggu-tunggu itu ada di sana.” Orang tua itu berkata.
Keempat-empat orang yang mengikut orang buta itu tercengang-cengang.
“Bagaimana kami mahu meneruskan perjalanan? Kami tak tahu arahnya. Hanya tuan yang tahu arah ke tempat orang bijaksana itu.” Orang yang merangkap ketua kumpulan membantah.
“Kamu semua celik. Kamu tentu boleh mencari arah dengan mata yang celik.”
“Tapi kami….” Salah seorang dalam orang berempat itu mencelah.
Orang tua buta segera memangkas, “Jangan lagi mencipta alasan, teruskan berjalan.”
Sebaik-baik berkata begitu, orang buta itu pun pergi meninggalkan empat orang celik yang terpinga-pinga kebingungan.
Setelah saling pandang memandang satu sama lain, tiba-tiba mereka berempat menjadi keliru dan termangu-mangu. Siapakah sebenarnya yang mereka tunggu?

Pengarang :