Penduduk mendengar penerangan mengenai penyelenggaraan cerun dalam Sesi Dialog Bersama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Bukit Mulia, Ampang pada 19 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

100 penduduk sertai dialog penyelenggaraan cerun bersama MPAJ, Ikram

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kira-kira 100 penduduk sekitar Ampang Jaya menyertai dialog penyelenggaraan cerun di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Taman Bukit Mulia, Ampang semalam.

Sesi dialog selama tiga jam bermula 9.30 pagi itu dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) Slopewatch dengan kerjasama MPAJ dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Dalam sesi tersebut penduduk diberi penerangan oleh Pengarah Kejuruteraan MPAJ Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi mengenai penyelenggaraan cerun di bawah MPAJ sementara Ketua Pegawai Eksekutif Ikram Dato’ Mohd Taufik Harun pula berkongsi pengalaman mengenai penyelenggaraan cerun.

Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi memberi penerangan dalam Sesi Dialog Bersama Komuniti di Dewan MPAJ Taman Bukit Mulia, Ampang pada 19 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Penduduk turut berpeluang menyertai sesi soal jawab bersama Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad dan pihak berkaitan termasuk pemimpin tempatan mengenai isu dan masalah berkaitan penyelenggaraan cerun dan tanah tinggi.

Turut hadir Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa Kamri Kamarudin dan ADN Lembah Jaya Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Sementara itu Setiausaha MPAJ yang turut menyertai sesi tersebut meminta orang ramai mendapatkan salinan Buku Panduan Cerun Untuk Orang Awam secara percuma melalui pautan
https://www.mpaj.gov.my/sites/default/files/booklet_cerun_dwibahasa.pdf.

“Buku dwibahasa ini dihasilkan MPAJ dengan kerjasama persatuan penduduk dan Jabatan Kerja Raya Malaysia.

“Penghasilan buku ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko bahaya tanah tinggi serta memahami bagaimana kaedah untuk menyelenggara cerun,” katanya ketika dihubungi.


Pengarang :