Empat daripada 30 kilang kimia yang disenarai pendek pihak berkuasa untuk disiasat susulan insiden sesak nafas dan muntah di Pasir Gudang sejak Khamis lepas, diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri pada 25 Jun 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

24 pelajar di Ulu Tiram pening, muntah terhidu bau kimia

JOHOR BAHRU, 2 OGOS: Seramai 24 pelajar dan dua petugas kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini mengalami pening dan muntah selepas dipercayai terhidu bau pencemaran kimia di sekolah itu semalam.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Ramli berkata dua guru sekolah itu turut mengalami pening dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 3.13 petang, seramai 17 anggota termasuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati ada beberapa mangsa mengalami pening dan muntah dan PKO bertindak membuat penilaian bagi mencari punca bau pencemaran itu. Kesemua pelajar dan guru diarah meninggalkan kawasan sekolah dengan segera serta mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor. Fokus utama melibatkan keluasan radius lima kilometer di sekitar sekolah memandangkan punca bahan masih belum ditemui,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Faiz berkata antara langkah yang dilakukan HAZMAT untuk mengenal pasti punca pencemaran ialah membuat pengesanan akhir termasuk menggunakan pengesan jarak jauh, gasmet dan rad di beberapa sektor yang ditetapkan.

“Pada kira-kira 6 petang tadi, tindakan pengesanan telah dilakukan di lima sektor. Pengesanan di sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000 mendapati terdapat peningkatan bacaan metil mercaptan sebanyak 50 ppm (bahagian setiap juta).

“Setelah membuat penilaian di lokasi terdapat peningkatan bacaan metil mercaptan itu, didapati berlaku aktiviti pembakaran tangki IBC yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal dan cecair serta pelupusan bahan pepejal dan sisa cecair ke laluan tali air di sungai berhampiran,” katanya.

Beliau berkata hasil penemuan itu, operasi seterusnya diserah kepada pihak JAS Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA


Pengarang :