AGENDANASIONAL

4,195 orang terima manfaat program MyLesen B2

KUALA TERENGGANU, 8 OGOS: Seramai 4,195 penerima mendapat manfaat daripada program MyLesen B2 di seluruh negara bermula Mei hingga 4 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata ia melibatkan penerima dari sembilan negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah.

Beliau berkata untuk tahun ini pihaknya menyasarkan 9,000 penerima terdiri daripada golongan B40, Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf zakat, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-kasih.

“Setiap negeri kita ada agihan kuota ikut kriteria tertentu. Misalnya di Kedah kita sediakan kuota untuk 900 orang; Pulau Pinang (900 orang); Kelantan (900 orang); Pahang (500 orang) dan Kuala Lumpur (500 orang).

“Untuk baki penerima di negeri seperti Perak; Sarawak; Melaka dan Johor kita akan laksanakan hingga akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Rospiagis Taha dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan 300 unit topi keledar tajaan Malaysia Rail Link (MRL) kepada penerima lesen B2 di Terengganu.

Hasbi berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.7 juta tahun ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal untuk menjalani tugas seharian serta mencari rezeki.

Menurut beliau di Terengganu pihaknya menerima 3,900 permohonan untuk menyertai program MyLesen B2 daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa.

– BERNAMA


Pengarang :