Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis perasmian MITI Day 2023 (Selangor) di Dewan Raja MUda Musa, Shah Alam pada 5 Ogos 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB hargai pesuruhjaya PAS negeri undur diri sidang media fitnah

GOMBAK, 8 OGOS: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menghargai Pesuruhjaya PAS Selangor yang mengundur diri daripada sidang media bertujuan memfitnah Kerajaan Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar juga menyifatkan pelempar fitnah itu sebagai individu tidak berwibawa berdasarkan rekod pengalamannya sebelum ini.

“Saya memuji kebijaksaan (Dato’) Dr Ahmad Yunus Hairi sebab beliau tidak muncul semalam. Sebab dia tahu (isu SMG), dia sendiri ada dalam dewan (negeri)

“Tapi sebaliknya dihantar (sidang media) cyber trooper dan pencacai yang tiada kredibiliti.” katanya di sini hari ini.

Dalam poster yang diedar kepada pengamal media, foto Yunus turut dipaparkan hadir dalam sidang media semalam.

Pada 4 Ogos, Amirudin mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapannya di Jitra, Kedah pada dua hari sebelumnya.

Semalam, Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad, yang terlibat dalam projek SMG, menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi.

Pada 3 Ogos, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai peneraju SMG menyaman mereka yang melempar fitnah terhadap usahanya memulihara dan membangunkan Sungai Klang.

Pada 5 Ogos, Berjaya Land menjawab satu persatu kenyataan palsu yang dibuat Sanusi:

1. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tidak menjual 55 peratus sahamnya dalam anak syarikat miliknya kepada Berjaya Land

2. Syarikat bertujuan khas Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) dibentuk melalui usaha sama LLSB (45 peratus), anak syarikat penuh MBI, dan Berjaya Hartanah Berhad (55 peratus)

3. Selain membersihkan dan membangunkan Sungai Klang, usaha sama itu juga untuk menyediakan projek perumahan mampu milik

4. Projek SMG mendapat pengiktirafan Green World Awards 2023 atas usahanya membersihkan Sungai Klang

5. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 600 ekar bernilai RM10 bilion

6. Beberapa bidang tanah seluas 103.6 ekar diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada LLBSB setelah tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan

7. Berjaya Land dikehendaki mengumpul dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar harga pasaran

8. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak mendapat tanah 600 ekar

9. Negeri Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta daripada tanah yang diberikan itu

10. Hanya 103.6 ekar tanah diluluskan untuk usaha sama tersebut dan akan menjelaskan premium tanah RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa seperti ditentukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta


Pengarang :