Pengundi kali pertama teruja untuk membuang undi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Merab Luar, Sepang walaupun terpaksa beratur panjang pada 19 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

997 premis, bangunan terlibat PRN di Selangor sudah diperiksa

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Sebanyak 997 premis dan bangunan di Selangor yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) diperiksa secara berterusan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan selamat.

Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pemeriksaan itu telah dilaksanakan sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai lalu hingga tamat urusan majlis pelantikan menteri besar dan pembentukan kerajaan negeri di bangunan terbabit.

Beliau berkata sepanjang tempoh PRN ini, JBPM Selangor sentiasa meletakkan balai dalam kesiapsiagaan tinggi dan memastikan pasukan bersedia menghadapi sebarang insiden.

“Kami juga menjalankan kajian di semua pusat mengundi, seterusnya melaksanakan tindakan prainsiden kebakaran dan mengambil langkah tambahan yang wajar bagi memastikan perlindungan keselamatan kebakaran di kawasan jagaan dalam keadaan optimum.

“Selain itu, dari sudut pencegahan kebakaran di premis terbabit PRN yang kebanyakannya sekolah, kita akan memastikan akses laluan keluar dan masuk jentera tidak terhalang serta tiada objek di kawasan tangga keselamatan jika berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Pandan Indah di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata pemeriksaan keselamatan melibatkan dua aspek iaitu sistem pasif yang melibatkan pemeriksaan struktur bangunan atau premis seperti laluan masuk ke lokasi tiada sebarang halangan atau sekatan, laluan atau ruang tangga di dalam bangunan selamat dan sistem aktif seperti salur bantu mula (hose reel) serta alat pemadam api disediakan di premis terbabit.

Beliau berkata setakat ini semua premis berkenaan berada dalam keadaan baik dan pemeriksaan diteruskan dari semasa ke semasa.

Selain Selangor, PRN turut membabitkan Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang dengan pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Sabtu ini.

– BERNAMA


Pengarang :