ADN Dusun Tua Johan Abd Aziz memantau sistem perparitan yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di Batu 18, Hulu Langat pada 24 Ogos 2023. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
ADNSELANGOR

ADN Dusun Tua minta pihak berwajib selenggara parit Batu 18

Oleh AMIRUL FAZLI

SHAH ALAM, 25 OGOS: Banjir yang kerap berlaku di sekitar Batu 18 Hulu Langat adalah disebabkan sistem perparitan longkang yang tidak lagi di selenggara oleh pihak berwajib.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua berkata sistem perparitan itu sepatutnya diselenggara agar pengaliran air menjadi lancar dan tiada menimbulkan masalah tersumpat.

Menurut Johan Abd Aziz, culvert (pembentung) dalam parit berkenaan juga tidak luas sehingga menyebabkan banjir kilat sering berlaku.

“Pihak Jabatan Kerja Raya Raya (JKR) perlu memantau semula setiap sistem perparitan ini dan agar setiap kali hujan lebat di kawasan tersebut tidak berlaku banjir lagi.

“Pembentung yang ada hanya tiga kaki sahaja dan mungkin terdapat lumpur banjir sebelum ini yang menjadi punca ia tidak begitu lancar,” katanya kepada Selangorkini.

Johan berkata permasalahan tersebut telah dipanjangkan kepada JKR agar longkang kawasan itu diluas dan didalamkan agar banjir tidak terjadi lagi pada masa akan datang.

Terdahulu, beliau ziarah penduduk sekitar Batu 18 untuk berikan sedikit sumbangan selepas rumah mereka dilanda banjir selain memantau sistem perparitan di Kampung Bukit Raja.


Pengarang :