Pegawai penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menjalankan pemantauan dan pencegahan pembakaran terbuka di kawasan revolusi hijau Johan Setia, Klang pada 7 Ogos 2021. Foto Facebook JAS
AGENDANASIONAL

Aduan pembakaran terbuka di Johan Setia turun 69 peratus

SHAH ALAM, 15 OGOS: Hanya 33 aduan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang diterima Jabatan Alam Sekitar setakat ini, berbanding 95 yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2019.

Pengarahnya berkata penurunan sebanyak 69 peratus dicapai menerusi pembinaan lima unit sekatan saliran, tiga unit telaga tiub dan 16 unit piezometer untuk mengawal kebakaran.

“Melalui pembangunan infrastruktur bersama agensi berkaitan, statistik aduan pembakaran terbuka bagi tempoh lima tahun di Johan Setia mencatatkan penurunan ketara.

“Sebanyak 69 peratus atau 33 kes aduan bagi tempoh hingga Ogos tahun ini berbanding 2019 yang mencatatkan 95 kes aduan,” kata Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataan.

Agensi terlibat dalam pembinaan kemudahan itu antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Beliau memaklumkan pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang bulan ini.

Johan Setia berkeluasan 10,095 hektar yang memiliki tanah jenis gambut antara kawasan mudah terbakar.


Pengarang :