Calon Pakatan Harapan DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah menyapa orang ramai pada program sarapan pagi di Medan Selera Tanjong Sepat pada 3 Ogos 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah
ADNSELANGOR

Akses kesihatan rakyat jadi tumpuan calon HARAPAN Tanjong Sepat

KUALA LANGAT, 4 OGOS: Usaha meningkatkan akses kesihatan rakyat Tanjong Sepat antara satu lagi tumpuan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika terus diberi mandat.

Borhan Aman Shah menjelaskan fokus itu selari teras kelima manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) yang diumumkan baru-baru ini, iaitu membela kepentingan rakyat.

Beliau berkata perkhidmatan ambulans percuma yang dicetuskan sejak 2021 juga akan diteruskan untuk meningkatkan aspek kebajikan rakyat khususnya buat golongan kurang berkemampuan.

“Sebelum ini, hanya saya yang buat perkhidmatan ambulans percuma dan saya sarankan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk dilaksana di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tujuan perkhidmatan ini kerana kawasan saya ke Hospital Banting makan masa hingga setengah jam. Ia juga membantu pesakit terutama kritikal untuk membayar kos mencecah RM500,” katanya.

Borhan yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut komited membawa cadangan pembinaan hospital di atas tanah rizab seluas 23 ekar di Tanjung Rhu bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Antara kawasan Tanjong Sepat ke Sungai Pelek, sudah ada tanah rizab seluas 23 ekar di Tanjung Rhu dan kita akan cadang kepada kerajaan persekutuan bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Borhan memenangi kerusi DUN Tanjong Sepat dengan majoriti 9,828 undi menewaskan Karim Mansor (BN) dan Mohd Haslin Hassan (PAS).

Hari pengundian bagi pilihan raya negeri Selangor dan lima negeri lain ditetapkan pada 12 Ogos.

 


Pengarang :